Permaisuri Agong berangkat ke Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) menunaikan solat Isyak pada Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi pada Ahad. Turut kelihatan, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kiri).
 - FOTO: BERNAMA
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) menunaikan solat Isyak pada Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi pada Ahad. Turut kelihatan, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kiri).
 - FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, di sini pada Ahad.

Keberangkatan tiba baginda pada 6.55 petang disambut anak Allahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tunku Azizah berkenan menunaikan solat Maghrib diikuti bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin Imam Masjid Ar-Rahah, Khairul Haffiz Abd Halim.

Seri Paduka kemudiannya berkenan menunaikan solat Isyak yang diimamkan Khairul Haffiz sebelum meluangkan masa bersantap dan berangkat meninggalkan majlis pada 9.40 malam.

Hanya sebilangan kecil jemaah hadir pada malam ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ekoran penularan wabak Covid-19.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, pada Jumaat dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan Masjid Negara, pada Sabtu.

Tun Rahah adalah isteri Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!