Muda jumpa ROS esok, serah surat peguam
SHAH ALAM - Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) akan mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pada Isnin, esok.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Muda Malaysia memaklumkan bahawa parti tersebut akan menyerahkan surat peguam yang berkaitan isu pendaftarannya yang masih belum selesai kepada ROS.
“Muda Malaysia telah membuat permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik yang sah kepada ROS pada 17 September 2020.
“Namun, setelah lebih tiga bulan, Muda Malaysia masih tidak menerima sebarang perkembangan status pendaftaran dari ROS.
“Maka, Muda Malaysia memutuskan untuk menyerahkan surat peguam kepada ROS berikutan isu pendaftaran Muda Malaysia yang masih belum selesai,” katanya.
Pada Khamis lalu, portal Malaysiakini melaporkan Muda Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengheret ROS ke mahkamah.
Dalam laporan tersebut, Amir Abd Hadi yang merupakan salah seorang pengasas Muda mendakwa ROS yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri telah melanggar hak Muda untuk berpersatuan kerana masih belum meluluskan permohonan pendaftaran mereka setelah hampir tiga bulan.
#BilaNakLuluspic.twitter.com/4WMKdduN8G
— Parti MUDA (@partimuda) December 20, 2020
Katanya, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyatakan semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
Namun, Amir memaklumkan perancangan tersebut hanya akan dijalankan sekiranya kempen media sosial yang dijalankan di media sosial melalui hashtag #BilaNakLulus tidak berjaya.
Sementara itu, pada Ahad, Muda Malaysia meneruskan desakan mereka untuk meminta kelulusan pendaftarannya dengan menggantung kain rentang di beberapa tempat di Kuala Lumpur.
Gambar yang menunjukkan kain rentang yang bertulis “Hamzah Zainuddin, bila nak lulus MUDA (Muda Malaysia)?” didapati sudah mula dikongsikan di sosial media pada Ahad.
Turut berkongsikan gambar kain rentang tersebut ialah akaun rasmi Twitter Muda Malaysia pada ciapan mereka dengan kapsyen “#BilaNakLulus”.
Sementara itu, Muda Malaysia yang diasaskan oleh ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama 12 lagi pengasas lain telah melancarkan kempen bagi mengumpulkan sokongan tandatangan supaya parti itu diluluskan dengan segera pada Sabtu lalu.
Difahamkan, kempen tersebut yang dijalankan oleh ahli Muda Malaysia itu dilakukan di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!