Arab Saudi larang kemasukan pesawat antarabangsa
RIYADH - [DIKEMASKINI] Arab Saudi pada Ahad menghentikan kemasukan penerbangan antarabangsa dan menggantung kedatangan para pengunjung melalui jalan darat dan laut sekurang-kurangnya selama seminggu.
Tindakan itu dibuat selepas satu jenis varian virus Covid-19 baharu yang cepat merebak muncul di Britain.
Negara beraja itu "menggantung semua penerbangan antarabangsa kecuali dalam kes-kes yang diklasifikasikan dengan pengecualian untuk tempoh selama seminggu," lapor Saudi Press Agency (SPA).
Bagaimanapun, SPA berkata, penggantungan itu boleh disambung lagi selama seminggu selepas ia dikuatkuasakan.
"Kemasukan ke negara beraja itu melalui pelabuhan darat dan laut akan digantung selama seminggu yang kemudian boleh dilanjutkan seminggu lagi," lapor SPA yang memetik Kementerian Dalam Negeri.
Namun, penggantungan itu tidak terpakai kepada kapal terbang antarabangsa yang ketika ini berada di negara itu untuk meninggalkan Arab Saudi, kata SPA.
Perkembangan itu berlaku selepas beberapa negara Eropah melarang kemasukan para pengunjung yang datang dari Britain semalam selepas kerajaan United Kingdom (UK) memberi amaran tentang satu jenis varian virus baharu itu gagal dikawal daripada merebak.
Kuwait turut mengumumkan larangan sama semalam ke atas pesawat-pesawat penumpang dari Britain.
Amaran mengenai virus itu dikeluarkan di seluruh Eropah yang mencatatkan kematian lebih 500,000 orang akibat Covid-19 selepas virus baharu tersebut melanda beberapa tempat di Britain.
SPA berkata, para penumpang yang tiba di Arab Saudi dari Eropah atau mana-mana negara yang mana virus baharu itu dikesan pada 8 Disember lalu dikehendaki menjalani kuarantin selama dua minggu dan melakukan ujian pengesanan Covid-19.
Pada minggu lalu, Arab Saudi memulakan program vaksin Covid-19 fasa ketiga selepas penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di negara itu.
Negara itu sebelum ini mencatatkan lebih 361,000 kes Covid-19 termasuk lebih 6,000 kematian iaitu antara yang tertinggi di negara-negara Arab.
Namun, negara tersebut melaporkan kadar tinggi pesakit yang pulih daripada Covid-19. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!