Permohonan i-Sinar dibuka hari ini
KUALA LUMPUR - Permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula dibuka secara dalam talian hari ini dengan melibatkan dua kategori kriteria kelayakan pemohon membabitkan lapan juta ahli.
Bagi pemohon yang tergolong dalam kategori 1, ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my bermula 21 Disember 2020 dan pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.
Kriteria permohonan bagi kategori 1 melibatkan ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Selain itu ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 turut boleh mengemukakan permohonan dalam kategori ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum dua kategori ahli layak mohon i-Sinar
Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP.
Kategori 2 pula permohonan boleh dibuat bermula 11 Januari 2021 melibatkan ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.
Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu penyata gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.
Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan dan status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat manakala pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.
Terdahulu, KWSP dalam kenyataannya berkata jumlah kelayakan untuk mengeluarkan wang dari i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan akaun satu ahli berdasarkan butiran terkini.
Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.
Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada akaun satu dengan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.
Sehubungan itu, ahli KWSP digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima transaction authorisation code (TAC) di kiosk atau kaunter KWSP dan memastikan nombor akaun bank adalah aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!