[VIDEO] Isu pendaftaran: Muda Malaysia lantik Tommy Thomas

Syed Saddiq ketika bertemu media pagi Isnin.
Syed Saddiq ketika bertemu media pagi Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk mewakili parti itu bagi mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pengasas Muda Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia berikutan tiada sebarang kelulusan diberikan ROS kepada pihaknya.

"Proses pendaftaran Muda Malaysia sebagai sebuah parti politik yang sah dibuat sejak 17 September, namun sehingga hari ini, barisan penaja Muda Malaysia masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini mengenainya," katanya pada sidang akhbar selepas menghantar surat tuntutan kepada ROS, di sini pada Isnin.

Menurutnya, surat tuntutan kepada ROS menuntut jabatan itu memberi kelulusan kepada Muda Malaysia sebagai parti politik yang sah.

"Jika tiada tindakan diambil dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, kita akan memulakan proses undang-undang terhadap ROS," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah memenuhi tuntutan ROS dengan segera.

"Mereka minta penyata bankrap, kita tak sampai 24 jam sudah menghantar kepada ROS. Setiap apa yang di minta telah lunaskan. Pendek kata semua dokumen telah lengkap," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut mempersoalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang hanya mengambil masa selama tiga hari sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Malahan sewaktu pemerintahan BN sebelum ini, pendaftaran Bersatu hanya mengambil masa 30 hari. Tetapi Muda Malaysia telah membuat pendaftaran pada 17 September lalu namun jawapan ROS masih dalam proses," katanya.

Katanya, tindakan perundangan merupakan jalan akhir pihaknya untuk mendapatkan keadilan berhubung isu tersebut.

"Sebolehnya kami tidak mahu menggunakan jalan ini kerana telah menggunakan pendekatan diplomasi," katanya.

Tambahnya, rundingan telah dibuat beberapa kali dengan melakukan proses penambahbaikan seperti diminta ROS.

"Tidak dengan itu, saya juga berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan dua kali pertemuan dengan perdana menteri, selain saya cuba yang terbaik dengan pendekatan demokrasi tapi apabila disekat, terpaksa kami ambil proses perundangan," katanya lagi.

Berdasarkan surat tuntutan yang dikemukakan, Tommy menyatakan bahawa kelewatan ROS memberi kelulusan kepada Muda Malaysia adalah tidak rasional dan melanggar harapan anak guamnya dilayan secara adil.

"Ini adalah ultra vires Akta Pertubuhan sekali gus melanggar hak Perlembagaan anak guam kami untuk membentuk persatuan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan," katanya di dalam surat tersebut.

Selain Tommy, parti itu turut diwakili oleh Peguam, Datuk S Ambiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!