Guardian bakal agih 15,000 botol cecair pembasmi kuman
GUARDIAN Malaysia melaksanakan kempen amal untuk melengkapkan golongan yang memerlukan dan pelanggan-pelanggan setianya dengan cecair pembasmi kuman yang menjadi satu kemestian supaya kebersihan diri mereka dapat dikekalkan untuk kekal selamat.
Pengarah Pemasaran Runcit, Guardian Health And Beauty, Malaysia dan Singapura, Anna Ng berkata, pihaknya menyedari betapa penting dan perlunya untuk memastikan tangan kekal bersih dalam usaha membasmi penyebaran koronavirus (Covid-19).
"Selain pelanggan-pelanggan setia kami, tiada yang lebih rentan daripada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah-rumah kebajikan.
"Kempen ini merupakan satu cara untuk membantu memastikan kedua-dua golongan tersebut dan para pelanggan kami memiliki cecair pembasmi kuman yang efektif untuk mencuci tangan mereka dan mengekalkan kebersihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dikenali sebagai kempen ‘Guardian Healthy Beauty from the Heart’, sejumlah 15,000 botol cecair pembasmi kuman akan diagihkan kepada pelanggan dan 14 rumah serta organisasi kebajikan di seluruh negara.
Katanya, pelanggan juga digalakkan untuk terlibat dalam usaha amal itu dan untuk permulaan, Guardian Malaysia mengagihkan kira-kira 3,000 botol cecair pembasmi kuman ke beberapa organisasi amal terpilih bermula awal bulan Disember.
“Bermula 16 Disember lalu kami memulakan inisiatif ini di stor-stor kami di mana pelanggan yang berbelanja sebanyak RM40 dan ke atas dalam satu resit bakal menerima satu botol cecair pembasmi kuman percuma.
“Mereka mempunyai pilihan untuk mendermakan botol cecair pembasmi kuman tersebut ke rumah atau organisasi kebajikan terpilih dalam negeri masing-masing di mana stor Guardian berada.
“Apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengimbas kod QR pada poster kempen yang dipaparkan di stor tersebut dan menyerahkan botol itu semula kepada kakitangan kami yang kemudiannya akan mengumpulkannya untuk diedarkan ke organisasi amal yang dikenal pasti di negeri mereka. Kami memperuntukkan 12,000 botol cecair pembasmi kuman bagi tujuan ini,” jelasnya.
Anna berkata, kempen dalam stor berlangsung selama seminggu bermula 16 Disember sehingga 20 Disember lalu atau sehingga kehabisan stok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!