Elya tular di laman sosial
SHAH ALAM - Hari ini permohonan i-Sinar menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai dibuka kepada pencarum.
Seiiring dengannya, tular di laman sosial apabila orang ramai memuat naik watak bernama Elya yang dikatakan muncul selepas pendaftaran maklumat peribadi dalam talian dengan memperkenalkan diri sebagai penasihat online (dalam talian) KWSP.
"Hai saya Elya, penasihat online KWSP. RM10,000 ini dianggarkan akan berganda kepada RM31,186.15 jika disimpan sehingga 55 tahun," demikian kata-kata yang dimuat naik di aplikasi i-Sinar.
Watak Elya dipercayai dicipta sebagai salah satu inisiatif daripada pihak KWSP untuk menasihati pencarum mengenai jumlah kelayakan RM10,000 sebelum membuat permohonan.
Difahamkan dengan adanya Elya sebagai penasihat online KWSP, ia dapat membantu pencarum untuk mengeluarkan jumlah tertentu sahaja mengikut keperluan pada masa ini.
Pencarum juga boleh menentukan jumlah yang diinginkan samada minimum atau maksimum.
Tinjauan Sinar Harian di laman sosial, rata-rata pencarum dan netizen dikatakan tetap membuat permohonan meskipun ada penasihat online KWSP.
Kata netizen dikenali sebagai Amirul, "Saya sudah buat, bila sudah siap semua dan tunggu jawapan saya jadi tak gembira apabila memikirkan 55 tahun nanti.
"Tapi bila fikir balik, RM10,000 tiada, masih ada lagi RM40,000," katanya.
Menurut Nur Nazirah pula, duit berkenaan amat diperlukan terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.
"Tidak mengapa Elya, duit boleh dicari, doakan saya panjang umur murah rezeki selalu.
"Sekarang duit itu sangat memerlukan untuk bayar yang penting. Terima kasih Elya, nasihat Elya akak ingat selalu," ujarnya.
Ada juga netizen menasihatkan orang ramai untuk terus membuat permohonan kerana wang berkenaan dapat menampung bebanan terutama golongan yang terjejas situasi Covid-19.
"Jangan terpengaruh dengan Elya ni. Mohon selagi boleh. Sekarang ramai meninggal dunia ketika usia muda. Umur kita bukan boleh jangka. Duit ini boleh kurangkan beban kita. Ada lebih, dapat duit simpan dan sedekahkan. Itu saham akhirat kita," kata Ghazli.
Bagaimanapun ada juga netizen yang tetap dengan pendirian tidak mengeluarkan wang berjumlah RM10,000 sebaliknya mengeluarkan sekadar yang perlu sahaja.
"KWSP adalah simpanan untuk hari tua, jadi fikirkan lah. Saya keluarkan mana yang perlu sahaja.
"Sendiri beringat, jangan suatu hari nanti bila dah tua marah-marah kerajaan pula tiada simpanan. Semuanya atas kita yang nak keluarkan, keluarkan sahaja," kata Dzul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!