Pesara guru rugi lebih RM500,000 angkara 'Sarjan Fairul'
GEORGETOWN - Seorang pesara guru kerugian RM512,316.18 selepas terpedaya helah Macau Scam baru-baru ini dengan mengatakan dia terlibat sindiket wang haram.
Ketua Bahagian Siasatan Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fairul dari Kota Kinabalu, Sabah.
Menurutnya, wanita itu dimaklumkan yang dia terlibat sindiket wang haram selepas polis menjumpai bungkusan miliknya yang dikatakan mempunyai lapan keping kad ATM.
"Akibat takut mangsa mengikut semua arahan yang diberikan oleh Sarjan Fairul termasuk meletakkan kad bank serta nombor pin di dalam peti surat di bawah rumahnya kononnya semua itu arahan daripada Bukit Aman.
"Mangsa juga dimaklumkan yang seorang inspektor akan datang mengambil kad tersebut dan dia perlu mematuhi semua arahan sekiranya tidak mahu dimasukkan ke dalam lokap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Mohd Rosni berkata, keesokan harinya mangsa memeriksa di dalam peti surat rumahnya mendapati kad ATM berkenaan telah tiada.
Katanya, dia hanya menyedari ditipu sindiket itu beberapa hari kemudian selepas membuat kad ATM baharu kerana mahu mengeluarkan wang pencen suaminya.
"Mangsa yang membuat semakan penyata akaun terkejut selepas wang simpanannya RM 512,316.18 dikeluarkan oleh suspek sebelum dia tampil membuat laporan polis semalam.
"Siasatan awal polis mendapati panggilan telefon yang diterima mangsa adalah nombor yang didaftarkan di luar negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!