Pelbagai inisiatif galak usahawan mikro, PKS guna teknologi e-dagang

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menggalakkan usahawan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan teknologi digital khususnya aplikasi e-dagang dalam perniagaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah program e-Usahawan iaitu pembelajaran secara luar dan dalam talian dengan menyediakan pengetahuan serta ilmu keusahawanan digital kepada usahawan untuk menjana pendapatan, pemasaran produk serta meningkatkan penjualan.

“Sehingga November lalu, lebih 394,894 telah dilatih dan daripada jumlah ini 155,885 usahawan berjaya melaporkan jualan sebanyak RM965.48 juta,” katanya menjawab soalan Senator Ismail Yusop pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Ismail ingin tahu mengenai langkah diambil kementerian dalam mempromosikan e-dagang untuk usahawan mikro dan PKS serta statistiknya.

Selain itu, Saifuddin berkata, Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) turut dilaksanakan bagi membantu usahawan luar bandar mendigitalkan perniagaan mereka yang selama ini dilakukan secara offline termasuk memberi khidmat nasihat serta bantuan sokongan kepada usahawan.

Sehingga November lalu sebanyak 32 pusat internet diaktif dengan program ini, katanya.

Saifuddin memaklumkan kementerian itu juga melaksanakan inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) iaitu inisiatif strategik untuk meningkatkan eksport PKS tempatan ke luar negara serta menjadikan Malaysia sebagai hab 'fulfilment’ e-dagang serantau.

Beliau berkata, sehingga kini lebih 20,000 PKS tempatan telah berdaftar dan menyertai program itu untuk menempatkan produk mereka di dalam platform pasaran maya serantau dan global.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya kementerian turut menyediakan Go-eCommerce iaitu pusat sumber dalam talian yang mempunyai pelbagai rujukan dan panduan lengkap untuk membantu golongan itu menggunakan aplikasi e-dagang.

"Di samping itu, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut melaksanakan inisiatif Kempen e-Dagang untuk PKS dan Usahawan Mikro (PKSM) bertujuan untuk menggalakkan mereka menggunakan platform dan aplikasi ini bagi meluaskan pasaran," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!