KWSP Jalan Raja Laut sesak
KUALA LUMPUR - Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jalan Raja Laut di sini sesak pada hari pertama permohonan i-Sinar dibuka secara dalam talian yang bermula pada Isnin.
Difahamkan, orang ramai mula berada di ibu pejabat KWSP Kuala Lumpur itu seawal jam 7 pagi bagi proses pembukaan i-Akaun dan permohonan i-Sinar.
Walaupun menerima jumlah pengunjung yang ramai berbanding hari biasa, namun keadaannya terkawal dan teratur selain tempoh berurusan di mesin kios tidak terlalu lama.
Seorang pengunjung, Asrul Hisham Kasim, 35, berkata, tempoh menunggu bagaimanapun tidak lama memandangkan permohonan i-Sinar dilakukan secara dalam talian.
Menurutnya, pihaknya diberikan pautan permohonan i-Sinar dalam talian dan diminta kembali ke cawangan KWSP berhampiran jika menghadapi masalah pendaftaran.
"Kebanyakan yang datang hari ini untuk pendaftaran i-Akaun. Saya sudah daftar i-Akaun semasa pengeluaran i-Lestari dulu.
"Jadi saya diminta buat permohonan secara dalam talian. Jika bermasalah baru datang semula untuk bantuan," katanya kepada Sinar Harian.
Asrul Hisham berkata, wang yang akan dikeluarkan itu diperlukan untuk kegunaan harian kerana dia baru ditamatkan jawatan baru-baru ini.
"Ada beberapa rakan alami nasib sama kerana syarikat tiada projek. Jadi melalui i-Sinar ini harap dapatlah saya bernafas sebulan dua sementara mendapat pekerjaan baharu," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Muhammad Haziq Mohd Kamal, 24, berkata, dia ke pejabat KWSP pada hari ini bagi tujuan semakan kelayakan i-Sinar dan menyemak baki dalam akaun satu KWSP.
"Saya baru berhenti kerja dan sedang mencari pekerjaan lain. Jadi buat sementara waktu, saya perlukan wang belanja untuk bayar ansuran motosikal, kad kredit, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain," katanya.
Seorang suri rumah, Merah Mat Putih, 53, berkata, proses berurusan di kaunter tidak terlalu lama dan dibantu membuat pendaftaran secara dalam talian oleh kakitangan KWSP.
Katanya, dia berharap permohonan i-Sinar diperoleh Januari ini bagi membolehkan wang itu digunakan untuk tujuan perubatan dan perbelanjaan lain.
"Suami saya perlukan wang untuk pembedahan mata selain kegunaan perubatan saya serta perbelanjaan dapur, sewa rumah dan lain-lain.
"Saya dimaklumkan yang permohonan saya diluluskan, dijangka pendahuluan RM5,000 diperoleh Januari ini, sementara bakinya RM1,000 bagi bulan-bulan berikutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!