Tiga beradik didakwa eksploitasi pekerja asing

Kesemua tertuduh menundukkan kepala ketika dibawa keluar dari Makhamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Kesemua tertuduh menundukkan kepala ketika dibawa keluar dari Makhamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Tiga beradik dan seorang lelaki warga tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin berhubung pertuduhan memperdagangkan warga asing Indonesia dan Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja paksa yang tidak mempunyai pas sah.

Tiga beradik berkenaan iaitu Ee Hwei Ping, 38; Ee Hwei Shan, 33; dan Ee Hwei Ting, 34, masing-masing didakwa atas 35 pertuduhan bersama manakala seorang lelaki disyaki rakan subahat, Koh Chee Pin, 38, didakwa atas 21 pertuduhan membabitkan warga asing berusia 18 hingga 40 tahun.

Bagaimanapun keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga beradik tersebut didakwa melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama telah memperdagangkan 32 wanita warga Indonesia dan tiga wanita warga Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Sementara Chee Pin yang merupakan suami kepada Ee Hwei Shan didakwa bersubahat bersama isterinya, serta dua kakak iparnya dengan memperdagangkan wanita warga asing bagi maksud eksploitasi kerja di mana kesalahan tersebut dilakukan hasil bersubahat.

Chee Pin didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda.

Berdasarkan 21 pertuduhan tersebut dia didakwa melakukan kesalahan pada jam 10.30 malam, di Taman Merbok, Bukit Katil, Melaka antara Mac hingga November lalu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Sebutan kes ditetapkan pada 15 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad manakala semua tertuduh diwakili peguam, Faiezad Razali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!