Jumlah mangsa banjir di Kelantan masih tinggi
KOTA BHARU - Walaupun keadaan cuaca hari ini cerah namun mangsa banjir di Kelantan masih mencatatkan jumlah lebih 1,000 orang sehingga jam 1 petang hari ini.
Mengikut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga jam 1 petang ini, seramai 1,334 mangsa melibatkan 465 keluarga masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS).
Kesemua mangsa terbabit, melibatkan penduduk yang terjejas di Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Bagaimanapun, berdasarkan portal terbabit jumlah mangsa menunjukkan sedikit penurunan berbanding tengah hari tadi berjumlah 1,388 orang.
Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,106 orang yang dipindahkan ke 14 PPS membabitkan 400 keluarga.
Sementara itu, di Kuala Krai pula, seramai 149 mangsa membabitkan 42 keluarga masih berada di lima PPS.
Di Tanah Merah, jumlah mangsa berkurangan kepada 79 orang berbanding 121 pada tengah hari tadi dengan empat PPS masih dibuka.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my menunjukkan hanya satu sungai melepasi paras bahaya iaitu di Sungai Golok Rantau Panjang.
Bacaan sungai tersebut adalah 10.31 meter (bahaya 9 meter).
Sementara itu, paras air di lima sungai iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Jenob, Sungai Kelantan di Jeti Kastam masih melepasi tahap berjaga-jaga.
Paras air di Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih bertahan sejak awal pagi tadi iaitu 2.47 meter namun bacaan itu menghampiri paras bahaya (bahaya 2.50 meter).
ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin musim tengkujuh
Mangsa banjir di Kelantan bertambah, tiga sungai di paras bahaya
Pengantin redah banjir nak bernikah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!