Taufan tropika: Lapan maut, satu hilang di Filipina
MANILA - Banjir dan tanah runtuh akibat taufan tropika yang melanda banyak kawasan di Filipina pada hujung minggu menyebabkan sekurang-kurangnya lapan maut, dua cedera dan seorang masih hilang, lapor Agensi Berita Xinhua.
Menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) Filipina, korban dilaporkan di Visayas Timur dan wilayah Davao serta Caraga.
NDRRMC berkata, taufan tropika menjejaskan lebih 36,000 penduduk di kawasan tengah dan selatan Filipina menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai 110.4 juta peso (AS$23 juta).
Taufan tropika itu meninggalkan Filipina pada Ahad, menurut biro cuaca negeri.
Ribut ke-22 yang melanda negara itu terus bergerak dari Filipina, dengan kelajuan angin maksimum 65 kilometer (km) sejam dengan tiupan angin hingga 80 km sejam, kata biro cuaca negeri.
Taufan dan ribut tropika sering melanda Filipina dari Jun hingga Disember, meragut nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling kerap dilanda bencana, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi dan purata 20 taufan setahun, menyebabkan banjir serta tanah runtuh.
Data kerajaan menunjukkan Filipina kerugian 463 juta peso (AS$9.65 bilion) akibat bencana alam dari 2010 hingga 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!