Plat kenderaan OKU ganti pelekat OKU

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Plat kenderaan orang kurang upaya (OKU) akan digunakan bagi menggantikan penggunaan pelekat kenderaan OKU.

Cadangan penggunaan plat kenderaan OKU itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) Bilangan 1 Tahun 2020 yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Isnin.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan menyatakan, persetujuan penggunaan plat kenderaan OKU itu adalah mengambil kira kepentingan dan keperluan OKU, serta waris yang memerlukan kemudahan itu disebabkan oleh limitasi mobiliti dan faktor keselamatan.

Menurut kenyataan itu, kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan itu adalah kategori Fizikal, Sub Kategori OKU Pembelajaran iaitu ‘Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) Akut, Autism Akut, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (satu waris) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Cadangan ini akan membolehkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan fasiliti OKU dapat dilaksanakan secara bersepadu dan meluas oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan KPWKM itu.

Penggunaan plat kenderaan OKU yang dibentangkan oleh Kementerian Pengangkutan itu adalah, antara dua cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat pada Isnin, selain penubuhan Yayasan Pembangunan Orang Kurang Upaya (YPOKU) oleh Sekretariat Pembangunan Inklusiviti Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.

Selain pembentangan mengenai penggunaan plat kenderaan OKU oleh Kementerian Pengangkutan, turut dikemukakan pada mesyuarat MKBOKU pada Isnin ialah cadangan penubuhan Yayasan Pembangunan Orang Kurang Upaya (YPOKU) oleh Sekretariat Pembangunan Inklusiviti Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.

Mengenai cadangan YPOKU pula, KPWKM menyatakan penubuhan yayasan itu dilihat amat bertepatan dengan keperluan semasa, dan akan memberikan implikasi yang signifikan kepada pembangunan dan pemerkasaan OKU di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Mesyuarat MKBOKU secara dasarnya setuju mengenai cadangan penubuhan Yayasan OKU. Bagaimanapun, pelaksanaan, struktur dan mekanisme bagi cadangan ini akan diperhalusi dan diperincikan terlebih dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan,” menurut kementerian itu.

Turut dibentangkan pada mesyuarat pada Isnin ialah empat kertas makluman iaitu Pelan Perancangan Bersepadu Penambahbaikan Penyertaan Orang Kurang Upaya dalam Perkhidmatan Awam; Kemudahan dan Aksesibiliti yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada OKU di Tempat Mengundi; Hak Pekerja OKU di bawah Undang-Undang di Malaysia; dan Pengurusan & Pemberdayaan OKU Kelantan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!