Kanak-kanak perempuan lemas terjatuh sungai

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mati lemas selepas jatuh ke dalam sungai Bangingod, Tungku dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa terjatuh ke sungai bersama kakaknya berusia empat tahun.

“Namun kakak mangsa berjaya diselamatkan selepas jeritannya didengari nenek dan ibu saudara mangsa yang sedang memetik cili di belakang rumah.

“Nenek bersama ibu saudara mangsa bergegas ke arah sungai dan menarik cucunya ke tepi sungai, manakala mangsa tidak sempat diselamatkan dan dibawa arus sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa kemudian ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Rohan Shah berkata, polis memohon perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap tiga individu termasuk ibu dan bapa mangsa masing-masing berusia 26 tahun, selama tujuh hari mulai Isnin.

“Turut ditahan reman nenek mangsa berusia 49 tahun bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan 2016) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang munasabah (cuai),” katanya dan menambah ketika kejadian, kedua ibu bapa mangsa dipercayai bekerja di ladang sawit.

Rohan Shah juga berkata, siasatan kes turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 ekoran bapa mangsa yang merupakan warga Indonesia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!