Tebatan banjir RM180 juta atasi banjir termenung
TUMPAT - Masalah banjir termenung yang dihadapi kira-kira 15,000 penduduk membabitkan lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor di sini bakal berakhir dengan pembinaan tebatan banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek bernilai RM180 juta itu akan dilaksanakan dua tahun lagi.
Menurutnya, projek yang dijangka siap pada tahun 2025 itu akan dibina bermula dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor.
“Projek berkenaan akan dapat menyelesaikan masalah banjir termenung yang dihadapi sekian lama di sini akibat limpahan air Sungai Golok dan mengambil masa yang lama sehingga lebih dua minggu untuk kering berdasarkan cuaca.
“Pembinaan itu juga akan menyelesaikan masalah keladi bunting yang memenuhi tali air sekitar Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) sejauh hampir dua kilometer (km) yang menghalang aliran air banjir keluar ke sungai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas membuat tinjauan banjir di Kampung Atas Kok, Simpangan, Bendang Pak Yong, Kubang Sawa dan Kuala Jambu dengan menggunakan bot.
Turut sama melakukan tinjauan adalah ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail.
Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan hari ini juga, terdapat beberapa keluarga masih belum berpindah meskipun paras air sudah tinggi dan menenggelamkan kawasan rumah.
Mengulas perkara itu juga, Wan Roslan berkata, sudah menjadi kebiasaan penduduk di sini tidak berpindah selagi paras air tidak mencecah 3.20 meter (m).
Bagaimanapun, beliau menasihatkan penduduk yang berisiko terbabit untuk mematuhi arahan jika diarahkan berpindah dengan segera memandangkan air di sekitar ini sudah menghampiri satu meter.
Berdasarkan tinjauan juga sehingga jam 5 petang ini paras air di Stesen Hujan Kampung Jambu Tumpat menunjukkan bacaan 2.89 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!