Idea kayuh basikal pakai sari jual teh masala 'menjadi'
SEREMBAN - Bukan mudah berniaga dengan mengayuh basikal sambil membawa tong panas berisi air teh Masala lebih-lebih lagi bagi seorang wanita yang memakai sari.
Bagaimanapun, S Kala, 40, tidak menjadikan itu sebagai penghalang untuknya mencari rezeki dengan cara istimewa selepas membuat keputusan nekad berhenti kerja sejak sebulan lalu bagi memulakan perniagaan menjual minuman.
Baginya, dalam keadaan hari ini perlu sesuatu kelainan sebagai tarikan dalam berniaga dan paling penting berani untuk mencuba.
“Idea berniaga menggunakan konsep ini timbul setelah saya selalu pergi ke India. Budaya berniaga naik basikal sudah biasa di sana dan saya rasa ia sesuatu pemandangan yang unik.
“Jadi, saya terfikir kenapa tidak mulakan di Seremban dan tak sangka percubaan saya hari pertama berniaga di pekarangan Pasar Besar Seremban menjadi dan sebanyak 100 cawan terjual,” katanya kepada Sinar Harian.
Kala yang sebelum ini bekerja di bahagian pentadbiran di sebuah syarikat swasta berkata, beliau sedikit pun tidak berasa malu berniaga dengan cara begitu malah seronok apabila berpeluang bertemu dengan pelanggan.
Katanya, selama 20 tahun kerjanya hanya duduk di pejabat dan suasana baharunya 'bekerja' di jalanan memberi satu pengalaman baharu.
“Saya pilih untuk jual teh masala kerana saya yakin ia ada permintaan. Lagipun saya pencinta teh dan resipi teh masala yang saya selalu hidangkan kepada keluarga dan rakan-rakan yang datang ke rumah mendapat pujian.
“Ramai orang jual teh masala, tapi mungkin rasanya berbeza. Bila mahu berniaga, kita perlu berani dan yakin serta seronok dengan apa dilakukan,” katanya.
Bagi memulakan perniagaan itu, Kala telah menggunakan basikal tua peninggalan bapanya yang sudah berusia lebih 60 tahun.
Beliau mula berniaga seawal jam 7 pagi sehingga 9.30 pagi di luar Pasar Besar Seremban sementara pada jam 4 petang di Jalan Yam Tuan di sini dengan menjual pada harga RM1 bagi secawan teh masala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!