Kerajaan nafi rampas tanah penduduk

Kedua-dua pihak berbincang pada pertemuan di tapak projek.
Kedua-dua pihak berbincang pada pertemuan di tapak projek.
A
A
A

BOTA KANAN - Kerajaan negeri menafikan berlakunya rampasan 11 lot tanah penduduk bagi memberi laluan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Lambor Kanan ke Lambor Kiri merentasi Sungai Perak itu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, sejumlah RM1.5 juta wang pampasan telah diperuntukkan kepada penduduk yang terlibat berdasarkan nilai dan keluasan tanah yang diambil.

“Proses ini berlaku ketika pentadbiran kerajaan lama berikutan projek ini telah bermula Mac 2018. Difahamkan lot tanah terlibat adalah tanah pusaka sebab itu nampaknya ada masalah sedikit di sini.

“Bayaran pampasan telah pun diberikan. Projek ini tetap diteruskan kerana pembinaan telah pun berjalan.

“Jadi, proses pengambilan telah sempurna dan wang pampasan telah didepositkan ke dalam Pejabat Amanah Raya. Mereka perlu semak dengan pejabat tanah yang menguruskan pengambilan tersebut” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan ke tapak projek dan bertemu penduduk yang terlibat di Lambor Kanan.

Kedua-dua pihak berbincang pada pertemuan di tapak projek.
Kedua-dua pihak berbincang pada pertemuan di tapak projek.

Menurutnya, pengambilan tanah untuk tujuan awam tidak memerlukan persetujuan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.

Artikel Berkaitan:

“Kalau untuk membina jalan, klinik kesihatan, masjid, sekolah dan jambatan, ini tidak perlukan persetujuan (pemilik tanah).

"Ini untuk kepentingan ramai. Tanah boleh diambil tetapi dengan membayar ganti rugi yang secukupnya bergantung kepada penilaian. Hak mendapatkan pampasan dijamin dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Asmuni berkata, tanah yang diambil kini menjadi milik kerajaan dan bukan individu.

“Cerita rampas ini tidak berlaku kerana RM1.5 juta sudah dibayar kepada pemilik. Kerajaan tidak boleh rampas tanpa ganti rugi kecuali kes-kes tertentu seperti tidak bayar cukai dan lain-lain,” katanya.

Projek pembinaan jambatan bernilai RM48 juta itu telah 25 peratus disiapkan sejak ia mula dijalankan pada Mac tahun lalu dan dijangka siap pada Mac 2020.

Sementara itu, penduduk, Abd Razak Ismail, 57, merasakan pampasan berjumlah RM270,000 yang diterimanya tidak setimpal untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Harga tanah kini mahal dan duit pampasan yang ada dalam Amanah Raya tidak cukup walaupun untuk beli sebuah rumah baharu.

“Tambahan saya perlu menjaga tiga adik perempuan yang kurang upaya (OKU). Tanah yang ada depan rumah sekarang pun ditanam pelbagai pokok untuk dijual,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga buntu apabila telah menerima notis untuk kosongkan rumah pada 15 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!