Arahan tanda larangan merokok adalah jelas
SHAH ALAM - Arahan tanda larangan merokok yang dipamerkan di premis makanan sebagaimana yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan adalah jelas dan mengikut spesifikasi.
Ketua Unit Kawalan Rokok, Vape Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim berkata, tidak sewajarnya timbul sebarang isu berhubung arahan berkenaan, kerana ia diwartakan secara jelas.
"Kenyataan yang dikeluarkan Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Datuk Ho Su Mong mengenai kekeliruan tentang spesifikasi tanda larangan merokok adalah dangkal.
"Adakah beliau tidak mengetahui sama sekali tentang spesifikasi yang telah digariskan dalam Jadual Ketiga [Perenggan 12(1)(a)] Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004? Di dalam jadual tersebut dengan jelas menyatakan bahan, bentuk/saiz, perihal serta reka bentuk tanda larangan merokok sebagai panduan umum.
"Jadual tersebut bukanlah suatu perkara yang baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kenyataan Ho Su itu jelas satu tindakan untuk mengelirukan masyarakat umum, sekali gus mahu mencabar pewartaan larangan merokok di semua premis makanan sejak 1 Januari 2019.
"Jika mereka patuh dengan arahan tersebut, kenyataan sedemikian tidak patut ditimbulkan," katanya.
Katanya lagi, sikap sedemikian tidak membantu inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dalam usaha memastikan kesihatan rakyat tidak terjejas akibat bahaya asap rokok.
Menurut Kementerian Kesihatan pihak premis perlu mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!