Harimau kumbang dilepaskan ke habitat asal
SEREMBAN - Seekor harimau kumbang yang ditangkap di Kampung Tengah Seri Menanti semalam dilepaskan ke habitat asalnya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, harimau kumbang seberat 47 kilogram itu dibebaskan setelah pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadapnya.
"Harimau kumbang itu dibawa pulang ke jabatan ini untuk dinilai tahap kesihatannya oleh doktor haiwan. Hasil pemeriksaan mendapati tahap kesihatan harimau kumbang berkenaan dalam keadaan baik dan sihat.
"Harimau kumbang ini kemudian dilepaskan di kawasan habitat asalnya di luar negeri ini malam semalam, namun lokasi sebenar tidak boleh dinyatakan untuk langkah keselamatan," katanya.
Mengulas mengenai penangkapan haiwan itu beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk Kampung Tengah Seri Menanti.
"Seramai 10 kakitangan dari Ibu Pejabat Perhilitan dan jabatan di sini dengan dibantu kakitangan Pusat Penyelamat Hidupan Liar Perhilitan dari Sungkai Perak bergegas ke lokasi untuk membawa balik harimau tersebut," ujarnya lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penduduk di sekitar Kampung Tengah Seri Menanti mendakwa melihat kelibat harimau kumbang di sekitar kampung itu, susulan haiwan ternakan milik penduduk kampung ada yang mati dipercayai dibaham harimau.
Susulan itu kakitangan Perhilitan memasang perangkap bermula pada 14 November lalu di lokasi kira-kira 500 meter dari tempat terakhir harimau kumbang itu dilihat penduduk dengan mengumpan anak kambing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!