Jemaah haji diminta sedia berdepan caj tambahan baharu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua dari kiri) bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Yusof (kiri); Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (dua dari kanan); Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kanan) melancarkan aplikasi THiJARI yang diadakan di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: Rosli Talib
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua dari kiri) bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Yusof (kiri); Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (dua dari kanan); Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kanan) melancarkan aplikasi THiJARI yang diadakan di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bakal jemaah haji tahun hadapan diminta supaya bersedia berdepan caj tambahan baharu yang akan dikenakan kerajaan Arab Saudi dengan menambah simpanan deposit dalam akaun Tabung Haji.

Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan lebih ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi ketika ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagaimanapun berkata, kerajaan akan sentiasa mencari jalan terbaik bagi perkara tersebut.

Beliau juga memberi jaminan bahawa sebarang pengumuman berhubung kenaikan kos tersebut tidak akan dibuat secara mengejut.

"Sebaik-baiknya begitu (tambah simpanan). Tapi apa-apa keputusan kita akan kemukakan secara rasmi berkenaan kenaikan kos ini. Kita akan lihat dan bincang dalam Kabinet.

"Tapi bagi saya, insya-ALLAH kita tidak perlu gusar sangat kos-kos tersebut sebab kita akan cakap dalam satu satu bahasa yang tidak mengejut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di Menara Tabung Haji di sini pada Selasa.

Terdahulu ketika berucap, Zulkifli berkata, oleh kerana SOP dan langkah keselamatan lebih ketat yang dikuatkuasakan di Arab Saudi ketika ini, kerajaan Malaysia menjangkakan beberapa syarat dan caj tambahan baharu akan dikenakan kerajaan Arab Saudi selari dengan usaha mereka membendung penularan wabak Covid-19.

"Oleh itu, bakal haji perlu bersedia dari segi kewangan bagi memenuhi tuntutan ini nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zulkifli bagaimanapun berkata, unjuran kos tersebut dijangka dapat ditentukan selepas mengadakan kunjungan ke Arab Saudi pada bulan depan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai status perjalanan ibadat haji rakyat Malaysia musim 2021.

"Perkara ini hanya jangkaan sahaja dahulu tetapi secara tepatnya saya sendiri akan pergi ke Arab Saudi untuk bincang isu-isu yang berkait dengan haji bersama menteri haji dan mungkin menteri agamanya terhadap beberapa perkara untuk kita perincikan satu persatu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta situasi pandemik yang berlaku.

Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan penangguhan penghantaran jemaah haji tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini.

Pada Isnin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dilaporkan berkata, Tabung Haji menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membincangkan syarat dan kelonggaran untuk jemaah negara ini menunaikan haji pada tahun hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!