Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$105.7 bilion
KUALA LUMPUR - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$105.7 bilion pada 15 Disember berbanding AS$105.3 bilion pada 30 November.
BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, paras rizab tersebut adalah memadai bagi membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Bank pusat berkata, komponen utama rizab antarabangsa itu terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$96.7 bilion), kedudukan rizab tabung Mata Wang Antarabangsa (AS$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR; AS$1.1 bilion), emas (AS$2.4 bilion) dan aset rizab lain (AS$4.1 bilion).
Aset-aset tersebut merangkumi emas dan pertukaran asing, termasuk SDR berjumlah RM439.10 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.15 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.47 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM17.51 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM14.29 bilion).
Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM172.60 bilion), mata wang dalam edaran (RM128.91 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM139.32 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM10.46 bilion), lain-lain deposit (RM12.93 bilion), kertas Bank Negara (RM11.36 bilion), peruntukan SDR (RM7.86 bilion), dan lain-lain liabiliti (RM5.13 bilion). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!