2.5 juta pokok akan ditanam di Kelantan
MACHANG - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mensasarkan 2.5 juta pokok ditanam di negeri tersebut bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia sehingga hujung tahun ini.
Penolong Pengarah (Ladang Hutan), Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Muhamad Syafiq Che Shaffine berkata, sehingga Oktober lalu sebanyak 2.44 juta pokok sudah ditanam di seluruh daerah di Kelantan.
“Penanaman tersebut melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti swasta, agensi kerajaan, pusat pengajian tinggi dan di peringkat sekolah.
“Sambutan paling menggalakkan adalah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kami berharap usaha serta kerjasama ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya sempena gimik penanaman pokok di Taman Eko-Rimba Bukit Bakar di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhamad Shafiq berkata, pelbagai jenis pokok ditanam untuk landskap serta pokok buah-buahan.
Tambahnya, pada tahun ini, mereka turut melaksanakan projek tersebut bersama masyarakat Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang.
“Kami akan ambil anak-anak pokok ini di tapak semaian di Batu Tapung dan Semerak Pasir Puteh sebelum diedarkan mengikut permintaan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, semua perancangan berjalan lancar sejak kami mulakan projek ini awal Januari lalu dan kita berharap tahun depan, usaha ini dipergiatkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!