Bota asalnya nama gergasi

Bota terkenal dengan durian atau dipanggil doyan (loghat Perak) dan tempoyak.
Bota terkenal dengan durian atau dipanggil doyan (loghat Perak) dan tempoyak.
A
A
A

BOTA - Mukim Bota nama yang tidak asing di kawasan Perak Tengah yang terbahagi kepada dua tempat iaitu Bota Kanan dan Bota Kiri.

Kedua-dua kawasan ini dipisahkan dengan aliran Sungai Perak.

Nama kawasan itu diambil bersempena dengan kewujudan gergasi atau makhluk yang pernah wujud di kawasan itu pada abad ke-18 yang dipanggil Bota.

Penduduk, Mohamad Nor Abdullah, 57, berkata, kewujudan makhluk itu merupakan mitos yang diceritakan dari setiap generasi ke generasi.

“Gergasi Bota ini bertubuh besar bersembunyi di dalam tanah dikatakan amat menggemari kanak-kanak yang tidak pakai seluar. Kehilangan penduduk sering dikaitkan dengan makhluk itu.

Mohamad Nor
Mohamad Nor

“Bagaimanapun, mitos dan cerita rekaan rakyat ini mungkin diadakan untuk menakutkan anak-anak kecil yang pulang lewat ke rumah. Ia dijadikan modal untuk menggertak anak-anak mereka,” katanya.

Menurutnya, cerita itu diperturunkan untuk tujuan yang sama sehinggakan nama Bota menjadi terkenal dan diangkat menjadi nama kawasan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum nama Bota terkenal, kawasan ini dahulu dikenali dengan nama Berahman Indera ketika di bawah pentadbiran Sultan Perak ke-12 yang memerintah pada tahun 1720 hingga 1728.

“Pemerintahan ketika itu merupakan puncak kegemilangan pentadbiran negeri ketika itu hinggakan ramai pedagang luar datang ke negeri ini dengan melalui Sungai Perak yang menjadi laluan utama penduduk untuk urusan harian,” katanya.

Bota kononnya nama binatang

Mohamad Nor berkata, terdapat versi lain bahawa Bota adalah sejenis binatang.

“Sekiranya digigit Bota, tulang manusia akan hancur berkecai. Kononnya apabila Sultan Perak pulang ke negerinya daripada suatu pengembaraan yang jauh, baginda akan membawa bersama Bota ini.

“Selain itu, perkara lain yang dibawa adalah tuntung, sebilah pedang serta seruling yang dipanggil nafiri. Bota bertanggungjawab menjaga keselamatan baginda sultan di sepanjang pengembaraannya,” katanya.

Masjid Jamek Bota Kanan
Masjid Jamek Bota Kanan

Bagaimana kawasan itu boleh dibahagikan kepada kanan dan kiri, Mohamad Nor menjelaskan bahawa ia berdasarkan bahagian ketika kapal Sultan Perak mudik ke hulu.

“Ketika muka mengadap ke hulu, bahagian kanan baginda dipanggil Bota Kanan dan bahagian kiri baginda dipanggil Bota Kiri.

“Bukan itu sahaja, kawasan Perak Tengah mempunyai kawasan Lambor Kanan dan Lambor Kiri serta Kampung Layang-Layang Kanan serta Layang-Layang kiri. Kadangkala, penduduk luar keliru dengan kawasan-kawasan ini,” katanya.

Pekan kecil Bota tetap jadi tumpuan

Tumpuan Bota Kanan adalah sebuah pekan kecil yang mempunyai banyak aktiviti perniagaan yang dimonopoli oleh Melayu. Bota juga terkenal dengan durian atau dipanggil doyan (loghat Perak) dan tempoyak.

Selain itu, terdapat Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) yang merupakan tarikan utama di daerah itu.

Kewujudan tuntung di Perak bermula apabila Sultan Perak bertandang ke Kedah telah dihadiahkan dua pasang tuntung dan dipelihara di selat Bota Kanan dan hari ini sekitar kawasan berkenaan di bangunan menjadi pusat konservasi tersebut.

Sekolah Kebangsaan Bota Kiri
Sekolah Kebangsaan Bota Kiri

Projek pembiakan tuntung itu dibuka pada 1978 bertujuan melindungi, memelihara dan memulihara populasi tuntung serta habitatnya yang semakin terancam.

Kesultanan Melayu Kedah dan Perak menjadikan telur tuntung sebahagian daripada santapan Diraja.

Pada penghujung abad ke-19, kampung-kampung di sepanjang Sungai Perak mengadakan pesta telur tuntung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!