Malaysia terlepas peluang keemasan

A
A
A

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan berita gergasi-gergasi teknologi global memilih Indonesia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Mengapa Indonesia dan tidak kita? Syarikat pengeluar kereta elektrik premium Tesla mengumumkan pelaburan berjumlah ASD4.0 bilion sekali gus meletakkan Indonesia dalam rantaian nilai global (Global Value Chain) produk keluaran Tesla.

Google pula bergandingan dengan syarikat pelaburan kerajaan Singapura, Temasek untuk melabur sebanyak ASD350 juta ke dalam syarikat unicorn e-commerce, Tokopedia yang berpengkalan di Jakarta. Pelaburan di dalam Tokopedia ini dijangkakan akan bernilai ASD83 bilion pada tahun 2025.

Gergasi e-commerce Amazon akan melabur sejumlah ASD2.85 bilion untuk membina tiga kemudahan pusat data di Jawa Barat bermula akhir tahun 2021 dan awal tahun 2022.

Polisi menjadikan ‘Abang Besar’ ASEAN sebagai negara mesra pelabur asing yang dianjurkan oleh Presiden Joko Widodo nampaknya mula menampakkan hasil.

Dengan ketibaan modal dan teknologi dari luar ini akan melonjakkan Indonesia ke tahap yang baru. Bayangkan berapa juta pekerjaan yang boleh dicipta daripada pelaburan-pelaburan ini? Dan pekerjaan-pekerjaan ini pula bukan tertumpu kepada aktiviti nilai rendah, tetapi aktiviti perkhidmatan berasaskan teknologi bernilai tinggi.

Antara sebab mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu komited menjadikan Malaysia mesra pelabur dan menyertai blok perdagangan, adalah antara lainnya untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang pada ketika itu baru menubuhkan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Kerajaan BN amat mahukan pelaburan-pelaburan gergasi ini dan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar dapat menonjolkan komitmen kita untuk menerima pakai standard perdagangan bebas dan pelaburan berkualiti tinggi. Tapi kesemua ini hancur selepas AS menarik diri daripada perjanjian ini.

Artikel Berkaitan:

Di saat Malaysia menghadapi situasi politik yang baru pasca Mei 2018 di mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah kerajaan Persekutuan buat julung kalinya, negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam mengambil peluang untuk memposisikan negara mereka sebagai pengganti Malaysia (substitute) dan mereka kini berjaya.

Kegelojohan ‘membalas dendam’ dan keghairahan merebut kuasa dalam kalangan parti-parti PH menjadikan ekonomi Malaysia teruk menjunam.Peluang

Dasar ekonomi yang bercelaru, keangkuhan Menteri Kewangan PH, pembatalan projek-projek infrastruktur rakyat dan penjualan aset-aset negara serta dasar luar negeri yang asyik mahu bergaduh sahaja telah mencacatkan peluang Malaysia menjadi negara maju.

Rakyat kecewa dan marah. Apabila kerajaan PH jatuh sendiri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk, negara menghadapi pandemik Covid-19 pula.

Ekonomi global menguncup, permintaan jatuh menjunam, perdagangan antarabangsa terganggu, sempadan ditutup, kawalan pergerakan dilaksanakan, perniagaan ditutup dan hutang-hutang rakyat meningkat.

Pun begitu, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam tetap menarik perhatian pelabur asing untuk meletakkan berbilion-bilion dolar ke dalam negara itu walaupun pandemik Covid-19 masih berjalan. Mengapa? Mengapa tidak Malaysia? Rata-rata menyimpulkan bahawa Malaysia masih tidak stabil dari segi politik. Satu dunia arif dan tahu bahawa kerajaan PN ini hanyalah bergantung kepada perbezaan dua undi sahaja. Lantas menjadikan kita tidak lagi ‘sesuai di mata’ mereka.

Buktinya? Mudah sahaja, sebagai contoh pada bulan Oktober lepas, Perdana Menteri baharu Jepun, Yoshihide Suga dalam rangka lawatannya ke Asia Tenggara, hanya melawat Jakarta dan Hanoi. Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Asing dan Pelaburan Perancis, Franck Riester juga hanya melawat Indonesia, Singapura dan Korea Selatan.

Persoalannya, mengapa mereka tidak singgah di Malaysia? Laporan menunjukkan lawatan ini membawa manfaat pelaburan dan perdagangan bernilai berbilion dolar jika dijumlahkan. Kita tidak boleh memperjudikan peluang untuk negara dan rakyat kerana berkuasa. Pulangkan mandat kepada rakyat semula, adakan pilihan raya umum segera agar kita dapat bentuk kerajaan yang stabil.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!