Kenapa asyik terlupa lagi?

A
A
A

SAYA menerima sebuah video daripada beberapa kumpulan WhatsApp. Video itu memaparkan majlis perkahwinan seorang wanita Melayu dengan seorang lelaki berbangsa Sikh di India. Agakkan saya benar apabila terdapat komen panas dan pedas mengkritik tindakan wanita itu.

Malah, ada yang menganggap dia sudah menganut agama Sikh kerana terpapar adegan yang menunjukkan wanita itu mengikut adat budaya kaum itu.

Akibat kritikan yang begitu bersemarak, wanita itu terpaksa membuat kenyataan tentang perkara sebenar. Beliau mengatakan yang pasangannya telah memeluk Islam dan dia juga tidak menukar agama. Isu panasnya terus jadi suam. Namun, apa jadi dengan komen-komen pedas yang ramai telah keluarkan? Bila kebenaran terhebah, baru kita tersedar yang kita sudah tersilap.

Tidakkah masing-masing hendak buat kenyataan meminta maaf kepada wanita itu kerana terlanjur kata, dengan menarik balik kenyataan atau memadamkannya sahaja? Biar sekali lagi laman sosial dipenuhi dengan mesej-mesej memohon maaf pula. Saya mengharapkan begitu kerana kalau kita dah buat silap, kenalah mohon maaf.

Maaf cakap... tidak hendaklah saya pula komen secara over tentang ‘adegan merangkak di padang mahsyar kerana mencari seseorang kerana hendak memohon maaf.’ Namun, hal fitnah di media sosial ini amat menjejaskan timbangan mizan, esok! Jika kita bertanya kepada golongan alim pun, itulah jawapan mereka.

Buat sekian kalinya kita mudah sangat ribut mengata dan menghukum. Segala-galanya terjadi kerana kita bertindak secara spontan kerana gopoh.

Tidak dinafikan penggunaan media sosial punyai kesan positif jika dikendalikan dengan baik. Ia boleh mempromosi rasa gembira, prihatin dan kasih. Ia juga memberi kita bantuan melalui pandangan rakan-rakan. Lontarkan apa sahaja soalan di media sosial, walaupun hanya bertanya ‘nak masak apa hari ini?’ Dalam beberapa minit kita akan dapat berbelas jawapan dan cadangan daripada teman-teman media sosial.

Dalam pada itu, ia juga memberi kesan negatif terhadap psikologi seseorang. Bukan sedikit kajian yang menunjukkan setiap kali seseorang itu menatap laman media sosial di telefonnya, fikirannya mudah terangsang untuk segera memberi reaksi.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga, respons orang lain terhadap apa yang kita tulis di laman sosial akan menyeronokkan kita. Sebenarnya, tanpa kita sedari pada waktu itu, hormon dopamin dirangsang keluar dari otak. Inilah yang menjadikan kita berasa gembira.

Apabila teman-teman akan memberi respon positif yang menggembirakan, kita ulang dan ulang lagi tindakan itu sehingga kita ketagih untuk mendapat ‘tanda suka’ atau ‘kongsi’ teman-teman. Dalam waktu yang sama, hormon dopamin semakin banyak mengalir dari otak. Bila kadarnya berlebihan, apa akan jadi setelah itu? Kita akan jadi ketagih.

Akhirnya apa sahaja perkara yang sampai kepada kita akan kita komen kerana secara bawah sedar kita inginkan respons teman-teman. Dan tanpa kita sedari, kita akan komen untuk mendapat perhatian. Kepuasan spontan adalah apa yang kita dambakan.

Bilakah ketagihan ini akan berhenti? Sampai bila kita hendak hentikan perangai mengkritik dan menghukum tanpa usul periksa akibat terlebih guna media sosial ini? Saya tanya anda, saya juga tanya diri saya sendiri... hingga bilakah kita semua terlupa bahawa apa yang kita buat itu ada dosa dan pahala? Dan, Tuhan kita itu Al-Hasib iaitu yang Maha Mengira!

Maaf cakap... tidak hendaklah saya pula komen secara over tentang ‘adegan merangkak di padang mahsyar kerana mencari seseorang kerana hendak memohon maaf.”

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!