Illi Najwa dan normalisasi agama

No Image Caption
A
A
A

UMAT Islam baru-baru ini digemparkan dengan berita seorang wanita Muslim Malaysia, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique berkahwin dengan ketua pasukan hoki India yang dikatakan beragama Sikh di India.

Malah, video upacara perkahwinan mereka yang mirip perkahwinan Punjabi juga tular di negara ini. Illi Najwa sudah pun meminta maaf susulan peristiwa itu, selain menegaskan dirinya masih seorang Muslim manakala suaminya telah memeluk Islam sejak setahun lalu.

Sehingga pihak berkuasa Malaysia selesai menyiasat kes itu, tiada siapa boleh menghukum Illi Najwa atau memberi apa-apa label kepadanya.

Biarlah pihak berkuasa menentukan status agama pasangan itu, sama ada perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak atau bagaimana wanita itu boleh melakukan perjalanan ke luar negara sewaktu pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perkahwinan kontroversi itu telah mencetuskan kebimbangan baharu mengenai kemungkinan berkembangnya fahaman liberal dan normalisasi agama di Malaysia.

Normalisasi ialah proses menjadikan suatu yang agak asing dan luar biasa kepada tidak asing lagi sehingga diterima umum.

Proses ini bermanfaat dalam keadaan tertentu seperti perpaduan kaum dan budaya kerja normal baharu, tetapi bukan dalam hal-hal yang bertentangan dengan akidah Islam.

Ini termasuklah menganggap normal untuk turut serta dalam upacara agama lain biar apa pun alasannya.

Artikel Berkaitan:

Di sesetengah negara, normalisasi agama yang berpunca daripada fahaman liberal sering terjadi, malah undang-undang negara berkenaan membenarkan pasangan berlainan agama berkahwin.

Kita berharap kes Illi Najwa adalah peristiwa terpencil yang tiada kaitan dengan normalisasi agama. Namun begitu, perkara sebegini tidak patut didiamkan. Pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan isu ini dengan mendapatkan kepastian bagi mengelak fitnah dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, pemimpin negara, penguasa agama, NGO Islam, ibu bapa dan semua umat Islam perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung perkara ini daripada berulang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!