Pekerjaan baharu masa hadapan
APABILA seorang kawan memberitahu dia memerlukan kira-kira RM8,000 lagi untuk melengkapkan set permainan komputer anaknya, saya terdiam seketika. Terlintas di fikiran berapa keluargakah akan dapat hidup selesa selama seminggu dua jika wang itu diagih-agihkan kepada keluarga-keluarga tersebut. Tetapi kemudian saya segera sedar, saya dan kawan saya itu sedang bercakap tentang pelaburan bukannya tentang kebajikan.
Saya masih ingat ketika budak-budak dahulu, jika sesekali dapat menyelinap masuk ke kedai permainan komputer, seronoknya tidak tergambar. Dapat main ‘Tetris’, ‘Pac-Man’ dan ‘Space Invaders’ sudah terasa hebat sangat. Tetapi semua itu terpaksa dilakukan secara curi-curi. Kalau sampai ke pengetahuan ‘bos besar’ di rumah, sudah tentu kena marah.
Pada masa itu, dan sejak sebelum itu serta beberapa lama selepas itu, permainan komputer bukanlah riadah yang dialu-alukan oleh kebanyakan ibu bapa. Ia lebih sering dikaitkan dengan perkara-perkara yang merosakkan. Yang tidak elok, yang negatif.
Tetapi sekarang keadaan berubah. Permainan komputer telah diterima sebagai sebahagian daripada budaya baharu dalam kehidupan. Yang memusuhinya masih ada, tetapi yang menghargainya semakin berganda. Permainan komputer sekarang ini tidak sekadar menjadi perkara suka-suka untuk mengisi, atau menghabiskan, masa. Sebaliknya ia telah berkembang menjadi satu cabang kerjaya kepada penggemarnya.
Pelbagai pertandingan dan kejohanan yang diadakan menyaksikan kemunculan pemain-pemain profesional yang memperoleh hasil lumayan daripada hobi yang dahulunya dianggap membazirkan duit itu. Jesse ‘JerAx’ Vainikkam, yang menjuarai carta pemain permainan komputer berpendapatan paling tinggi bagi tahun 2020 telah mengumpulkan hadiah lebih RM26 juta bagi tahun ini sahaja.
Menyusul di belakangnya Anathan ‘Ana’ Pham yang memperoleh lebih RM24 juta bagi tempoh sama. Selain mereka terdapat ribuan lagi individu yang mencari rezeki dengan permainan komputer dan berpendapatan puluhan atau ratusan ribu setahun merupakan perkara biasa bagi golongan ini.
Martabat permainan komputer juga telah diangkat menjadi acara rasmi dalam kejohanan-kejohanan sukan, termasuk yang bertaraf antarabangsa. Ia mendorong kepada suburnya pertandingan-pertandingan berskala kecil di peringkat kelab dan daerah. Malah, budak-budak kampung pun sekarang sudah pandai menganjurkan pertandingan seumpama itu. Walau pun namanya ditukar kepada e-sport, tetapi itulah permainan komputer.
Jadi tidaklah menghairankan jika ada orang, seperti kawan saya itu, bersedia melabur dalam bidang tersebut dengan impian untuk melihat anaknya menjadi gamer profesional yang mampu membina masa hadapan. Sekarang ini di banyak tempat, di luar negara dan di atas talian telah muncul kelas-kelas mengajar permainan komputer.
Di negara kita ini pun suatu ketika nanti kelas-kelas seumpama itu mungkin akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Maka akan berlumba-lumbalah ibu bapa menghantar anak-anak menimba ilmu permainan komputer di situ. Apabila itu berlaku bermakna bertambahlah lagi peluang pekerjaan baharu sebab jika ada kelas tentulah pula ada guru, ada pembantu dan pelbagai lagi pecahan cabang kerjanya.
Perubahan
Perkhidmatan penghantaran makanan pertama yang direkodkan adalah di Korea pada tahun 1768 apabila ada pengusaha menawarkan penghantaran naengmyeon, sejenis mi kepada pelanggannya. Terdapat juga perkhidmatan menghantar sup-sup haejang-guk kepada golongan bangsawan.
Di negara kita pula perkhidmatan menghantar makanan dalam mangkuk tingkat pernah popular dalam kalangan masyarakat Cina. Ia bagaimanapun perlahan-lahan berkurangan. Kalau ada pun sekarang ini, jumlahnya sangat kecil dan sudah boleh dikelaskan dalam kes-kes terpencil. Mereka yang mengusahakannya kalah dengan perubahan gaya hidup.
Kemunculan lebih banyak kedai dan gerai makan, ditambah pula dengan perkembangan budaya makanan segera yang cukup pantas membiak, menyempitkan peluang rezeki mereka.
Tetapi setahun dua kebelakangan ini kita menyaksikan bidang pekerjaan itu kembali muncul dalam versi yang berbeza. Penghantar-penghantar makanan menjadi satu cabang pekerjaan baharu yang bukan sahaja penting, tetapi juga popular.
Di Malaysia sahaja sekarang ini terdapat puluhan syarikat yang menyediakan perkhidmatan menghantar makanan. Foodpanda, Grabfood, Bungkusit, Pop Meal, Tapaw dan pelbagai nama lain bukan sekadar berlumba-lumba mendapatkan pelanggan, tetapi juga ada ketikanya berlumba-lumba mengejar waktu di jalan raya.
Saya tidak mempunyai data yang tepat mengenai jumlah individu yang bekerja sebagai penghantar makanan di negara ini. Tetapi laporan akhbar New Straits Times pada 7 Oktober tahun lalu menyebut bahawa jumlah mereka mencecah 13,000 orang di seluruh negara. Angka itu tentulah jauh meningkat sekarang ini, lebih-lebih lagi kerana syarikat-syarikat penghantar makanan mengakui permintaan terhadap perkhidmatan mereka bertambah dengan banyaknya sejak serangan pandemik Covid-19.
10 tahun lalu pernahkah kita mendengar jawatan ‘pengurus media sosial’, ‘editor atau pakar SEO’, ‘pemandu e-hailing’, ‘juruterbang dron’, ‘produser podcast’? Tentu sahaja tidak. Membayangkannya pun tidak. Malah pada masa itu kita tidak tahu pun apa itu ‘jurulatih zumba’.
Seorang kenalan saya sudah hampir setahun menggunakan perkhidmatan ‘setiausaha maya’. Hampir semua urusannya diatur dan dijadualkan oleh setiausahanya itu. Sang setiausaha jugalah yang membantunya mencari maklumat itu dan ini, menyediakan surat-menyurat dan sebagainya. Ironinya, mereka tidak pernah bertemu. Semua urusan, termasuk pembayaran upah perkhidmatan dibuat secara atas talian. Mudah.
Sekurang-kurangnya dia tidak perlu mengerutkan kening melihat setiausahanya di pejabatnya bersolek sejam sebelum waktu pejabat berakhir. Sesungguhnya ada banyak lagi jawatan lain yang tidak pernah wujud dahulu tetapi sekarang ini menjadi sebahagian daripada sumber rezeki yang menjadi buruan pencari kerja.
10 tahun dari sekarang, jika dipanjangkan umur, kita mungkin akan menyaksikan pula kemunculan jawatan pengumpul tenaga solar dan pengumpul angin, yang menjualnya kepada syarikat-syarikat penjana tenaga. Mungkin akan ada jawatan penangkap robot bagi mengesan dan menangkap robot-robot yang terlepas daripada kawalan atau detektif data yang tugasnya mengesan pencuri-pencuri maklumat.
Semuanya mungkin.
Seiring dengan perkembangan itu peluang menambah rezeki juga pastinya akan bertambah luas. Kalau sekarang perniagaan secara atas talian menjadi pemain penting dalam sektor ekonomi, sampai masanya nanti ia mungkin disertai oleh penghantaran secara atas talian pula. Order sekarang, bayar sekarang, dapat barang sekarang. Bagaimana caranya? Datang secara hologram, bila disentuh terus menjadi barang yang dikehendaki? Saya tidak pasti. Tetapi apabila segala sesuatu yang mustahil suatu ketika dahulu kini bertukar menjadi realiti, maka yang sekarang ini pelik, suatu masa nanti mungkin menjadi sesuatu yang ‘biasa’.
Sebagai manusia, kita seharusnya meraikan segala kemajuan ini. Manfaatkan ia dengan sebaik-baiknya. Tiru mana yang patut, pelajari apa yang boleh, tambah baik apa yang perlu. Sebagai hamba ALLAH pula, jadikan semua itu sebagai petunjuk pada kuasa dan kebesaran-Nya kerana sehebat mana pun manusia yang mencetus dan mencipta segala kemajuan itu, mereka tetap hamba yang lemah di sisi-Nya.
Mereka sendiri hanya hasil ciptaan!
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!