Bernas prihatin nasib golongan memerlukan
ROMPIN - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) dengan membantu 100 murid sekolah dan 100 keluarga asnaf sekitar daerah ini.
Sumbangan kepada penerima rata-rata dalam kalangan pesawah dan nelayan itu berupa barangan makanan, wang tunai dan keperluan sekolah.
Eksekutif Operasi Kilang Beras Bernas Rompin, Norsallehudin Adnan berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban ditanggung keluarga berpendapatan rendah terutama dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak pada sesi persekolahan akan datang.
Menurutnya, Bernas bekerjasama dengan pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puteri di sini untuk mengenal pasti senarai murid yang layak untuk menerima sumbangan berkenaan.
“Kita juga mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk senarai keluarga asnaf yang layak untuk menerima bantuan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Kampung Simpang Sempayang di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rosniza Baharum.
Sementara itu, Rosniza berkata, Rompin menjadi lokasi pertama untuk Program Kembali ke Sekolah Bernas.
Menurutnya, program itu juga akan diteruskan ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sumbangan ini diharap dapat menceriakan pelajar terlibat dan menyuntik semangat mereka untuk mengikuti sesi persekolahan tahun hadapan.
“Selain membantu golongan memerlukan, program ini juga menjadi platform kepada Bernas untuk menyantuni masyarakat terutama golongan pesawah,” katanya.
Dalam pada itu, penerima sumbangan, Halijah Dahlan, 61, dari Kampung Simpang Sempayang di sini berkata, dia terharu dan berterima kasih atas keprihatinan Bernas terhadap nasib golongan pesawah sepertinya.
Menurutnya, kebanyakan pesawah di kawasan itu terjejas teruk apabila hasil padi merosot akibat serangan ulat dan haiwan perosak sejak beberapa musim lalu.
“Macam-macam masalah timbul menyebabkan padi tidak menjadi, sekali gus menjejaskan pendapatan petani di sini.
“Untuk setiap lot sawah pada satu-satu musim, modalnya mencecah RM4,000 dan adakala hasil tuaian padi langsung tidak balik modal,” katanya.
Halijah berkata, dia amat berharap padi yang ditanam pada musim ini menjadi dan memberi pulangan seperti yang diharapkan.
“Saya berterima kasih kepada Bernas atas sumbangan ini kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung," katanya.
Seorang lagi penerima sumbangan, Salasiah Idris, 37, berkata, dia juga terharu dengan sumbangan yang diterima daripada Bernas itu.
“Melalui bantuan makanan, keperluan sekolah anak-anak dan sedikit wang tunai sudah banyak membantu meringankan beban keluarga,” katanya.
Sebagai seorang suri rumah, katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suaminya, Basri Ismail, 42, yang bekerja kampung.
“Namun pendapatan suami saya tidak seberapa. Bantuan keperluan persekolahan daripada Bernas untuk kegunaan dua anak saya amat memberi kelegaan kepada saya dan suami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!