Mati tergantung di bengkel sendiri
TANAH MERAH – Seorang lelaki berusia 50 tahun ditemui tergantung di sebuah bengkel miliknya di Kampung Tepi Sungai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan pihaknya ada menerima laporan pada jam 9.13 pagi tadi.
Menurutnya, mangsa tinggal bersama lima anaknya dan kejadian tersebut disedari salah seorang anak mangsa yang ketika itu keluar rumah untuk bekerja di bengkel mangsa yang terletak di hadapan rumah mereka.
“Semasa hendak melintasi ke bengkel, anak mangsa terlihat mangsa tergantung di alang pintu hadapan sebuah lagi bengkel dan dalam keadaan kaku.
“Dia menjerit meminta tolong daripada seorang lagi pekerja di bengkel tersebut dan membawa turun mangsa daripada tergantung.
“Mereka cuba berikan bantuan pernafasan namun mangsa tidak berjaya diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!