Bekalan barangan keperluan di Pulau Pinang mencukupi

Abdul Halim (tengah) bersama Azmin (kiri) meninjau harga barang keperluan di Sam's Groceria Straits Quay hari ini.
Abdul Halim (tengah) bersama Azmin (kiri) meninjau harga barang keperluan di Sam's Groceria Straits Quay hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekalan barangan keperluan termasuk ayam belanda import dan bawang merah di seluruh Pulau Pinang menjelang perayaan Hari Krismas Jumaat ini mencukupi.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Ridzuan Mat Isa berkata, pihaknya juga memberi jaminan harga barangan terkawal sempena perayaan itu.

"Bekalan barang keperluan sempena perayaan Krismas dijamin mencukupi dan harga barangan juga stabil.

"Pihak kami juga melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang Krismas," katanya selepas menjalankan tinjauan di Sam Groceria, Staits Quay, Tanjung Pinang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengarah Urusan Sam's Groceria Straits Quay, Azmin Sadurudin.

Mengulas mengenai harga dan bekalan bawang besar India, Ridzuan berkata, bekalan barangan keperluan itu mencukupi dan harganya masih terkawal.

"Setakat ini, tiada aduan rasmi mengenai harga bawang besar India yang kita terima. Dari segi bekalan, ia mencukupi buat waktu ini. Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh pegawai KPDNHEP kenaikan harga bawang berlaku sekitar dua minggu lalu disebabkan kekurangan bekalan bawang dari India.

"Difahamkan stok bawang dari India berkurangan kerana musim hujan di India, namun kini bekalan bawang telah kembali pulih. Harga bawang di pasaran juga telah kembali pulih seperti sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kementerian telah mengenal pasti sebanyak 14 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum.

Antara senarai harga barangan terkawal bagi skim tersebut termasuklah ayam hidup; ayam standard; ayam super; ayam belanda import; daging kambing tempatan bertulang; daging kambing bebiri import bertulang; telur ayam Gred A; telur ayam Gred B; telur ayam Gred C; tomato; lada benggala hijau; kubis bulat import, lobak merah dan ubi kenyang import (China)

Dalam pada itu, Azmin berkata, sempena musim perayaan Krismas ini, jumlah jualan ayam turki di Sam Groceria Straits Quay meningkat sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.

"Permintaan untuk ayam Belanda import meningkat memandangkan ramai warga asing yang tinggal berhampiran kawasan ini tidak dapat pulang ke negara masing-masing kerana pandemik Covid-19.

"Jadi mereka menyambut Krismas di sini sahaja bersama keluarga rakan-rakan terdekat menyebabkan permintaan dan jualan ayam belanda import meningkat," katanya.

Dalam pada itu, pelaksanaan SHMMP Krismas 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang Perayaan Krismas.

"Tarikh kuat kuasa bagi skim ini adalah selama 10 hari iaitu selama tiga hari sebelum hari Perayaan, sehari pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!