Bruce kecewa Newcastle gagal ke separuh akhir
![Steve Bruce](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/12/23/920177.jpg)
PENGENDALI Newcastle, Steve Bruce nyata kecewa setelah gagal membantu kelab berkenaan mara ke saingan separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), apabila tewas 0-1 kepada kelab Liga Kejuaraan Brentford, di Stadium Komuniti Brentford pada awal pagi Rabu.
Bruce berkata, kebelasan pemain dilihat telah mensia-siakan peluang pada aksi suku akhir berkenaan dan seterusnya ia telah menjejaskan usaha pihak pengurusan untuk mara lebih jauh dalam saingan kali ini.
“Saya benar-benar kecewa kerana kita telah melepaskan peluang ini. Bagaimanapun, pasukan kita sebenarnya tidak beraksi dengan cukup bagus kali ini.
“Kami terlalu perlahan dalam mengawal bola, jentera serangan kami juga dilihat bermasalah ketika beraksi di padang.
“Apa pun, kita tetap terima kekalahan ini walaupun kecewa kerana terlepas peluang untuk mara kali ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Brentford memperolehi gol kemenangan pada minit ke-66 menerusi jaringan penyerangnya, Josh Da Silva.
![Penyerang Brentford, Josh Da Silva (kiri), meraikan gol tuggal perlawanan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/12/23/920178.jpg)
Gol berkenaan nyata sudah memadai buat skuad The Bees itu mengesahkan slot ke saingan separuh EFL kelak.
Sementara itu Bruce berkata, fokus kelab The Magpies itu kini adalah kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Manchester City di Etihad awal pagi Ahad nanti.
Katanya, perlawanan dilihat penting dalam usaha melonjakkan kedudukan pasukan yang kini berada pada kedudukan kedua belas dengan 18 mata hasil lima kemenangan, tiga seri dan tewas lima kali daripada 13 perlawanan.
“Fokus kami kini kembali ke saingan EPL semula untuk berdepan Manchester City 27 Disember ini.
“Diharapkan kesebelasan pemain akan dapat memberikan yang terbaik bila bertandang ke Etihad nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!