14 tukun tiruan dilabuh galak pembiakan ikan

Tukun tiruan dasar lembut dilabuhkan di perairan Sabak Bernam iaitu kira-kira lima batu naurtika dari Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO) pada Rabu.
Tukun tiruan dasar lembut dilabuhkan di perairan Sabak Bernam iaitu kira-kira lima batu naurtika dari Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO) pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Perikanan Selangor melabuhkan 14 tukun tiruan dasar lembut di perairan Sabak Bernam iaitu kira-kira lima batu nautika dari Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO) di sini pada Rabu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, tukun tiruan bernilai keseluruhan RM300,000 itu berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti jenahak, kerapu, merah dan anak-anak ikan selain hidupan laut lain.

Menurutnya, kerja meletakkan tukun tiruan berbentuk empat segi (kuboid) itu dilaksanakan syarikat kontraktor yang menyediakan ponton untuk mengangkut tukun dan jentera pengangkat serta bot tunda ponton.

"Kerja-kerja mengangkat tukun seberat 16.7 tan metrik dari ponton ini mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam sebelum tukun ini berjaya dilabuhkan di dasar tapak perairan yang berpasir dan berlumpur dengan kedalaman sekitar 20 meter yang memang sesuai untuk peletakan tukun tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda di Perairan Sabak Bernam di sini pada Rabu.

Izham berkata, usaha dilakukan itu juga diharap dapat meningkatkan lagi sosio ekonomi khususnya komuniti nelayan setempat selain memajukan lagi sektor pelancongan menerusi aktiviti memancing yang begitu terkenal di daerah ini.

"Jangkaan tempoh tukun tiruan yang dilabuhkan di dasar laut mula menarik kehadiran hidupan laut selepas enam bulan.

"Namun secara logiknya, apabila sudah ada tukun, ikan pasti akan datang untuk mencari makanan, membiak dan membesar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tukun tiruan itu turut berfungsi sebagai penghalang aktiviti nelayan pukat tunda menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

"Pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan menyebabkan kerosakan pada tali penarik," katanya.

Katanya, tukun tiruan itu merupakan kali kedua dilabuhkan di perairan itu sebelum kali pertama yang turut menempatkan sebanyak 14 tukun sama dilakukan pada 2006.

"Kita akan terus berusaha menempatkan lebih banyak tukun tiruan di perairan negeri ini dalam usaha menambahkan lagi sumber perikanan yang dapat meningkatkan pendapatan golongan nelayan dan pihak yang terbabit dalam sektor pelancongan.

"Jumlah pendaratan ikan juga diharap meningkat lebih baik kerana ketika ini pengeluaran ikan di Sabak Bernam sekitar 64,000 tan metrik setahun berkurangan berbanding tahun sebelumnya iaitu 76,000 tan metrik setahun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!