Siasat terperinci dakwaan rasuah isu kartel daging tidak halal

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak pihak berkuasa berkaitan membuat siasatan terperinci terhadap laporan sebuah akhbar yang mendedahkan aktiviti mengimport daging tidak halal untuk dijual sebagai daging halal yang didakwa turut didalangi kakitangan agensi kerajaan.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, kegiatan tersebut sudah berlarutan selama 40 tahun di mana pihak kartel didakwa menyogok pegawai-pegawai agensi itu dengan habuan wang tunai dan wanita untuk menutup mulut.

"Saya mengikuti laporan ini dengan penuh kerisauan dan bertanggungjawab meminta siasatan terperinci dilakukan terhadap dakwaan tersebut.

"Berdasarkan laporan akhbar itu, kegiatan tersebut didakwa bergerak dengan gerakan tersusun dan mempunyai rangkaian hebat," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Fuziah berkata, beliau yakin pihak akhbar itu tidak akan berani mendedahkannya melainkan mereka ada cukup bukti.

"Saya masih ingat pendedahan berani akhbar ini berhubung aktiviti perlombongan bauksit haram di Kuantan yang akhirnya terbukti benar.

"Terbukti pendedahan tersebut telah mencetuskan satu rantaian tindakan membantu warga Kuantan menyelesaikan isu pencemaran teruk akibat aktiviti perlombongan bauksit haram yang tidak terkawal itu

"Kini satu lagi pendedahan berani yang saya percaya ada fakta di sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: KPDNHEP nafi kartel daging halal palsu wujud sejak 40 tahun lalu

Beliau berkata, kementerian dan agensi yang terlibat digesa tampil ke hadapan dan berani menggalas tanggungjawab untuk bersemuka dengan rakyat di dalam isu tersebut.

"Sekiranya dakwaan ini benar, maka ianya perlu dibanteras habis-habisan dan rakyat wajar di maklumkan," katanya.

Fuziah berkata, isu kartel daging lembu tidak halal ini lebih besar bukan setakat aspek halal daging tersebut tetapi turut melibatkan sindiket yang berkomplot untuk menipu.

"Ia juga melibatkan salah laku rasuah yang berterusan sekaligus mencalar integriti dan mendedahkan ketirisan sistem nilai di kalangan warga agensi.

"Saya kira ini masalah ni ibarat barah yang berada di tahap terminal. Sekiranya tidak dikenalpasti dan dirawat, maka kita rakyat Malaysia kesemuanya akan jatuh ke lembah yang hina," katanya.

Justeru katanya, kerajaan dan agensi bertanggungjawab perlu mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini dalam masa terdekat.

"Sekiranya dakwaan ini tidak benar, saman mereka yang melaporkan namun sekiranya ada kebenaran, kerajaan perlu akuinya.

"Apapun realitinya, berterus teranglah. Rakyat berhak untuk mengetahuinya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!