Rakyat kurang yakin terhadap demokrasi di Malaysia, kata pakar

Shamrahayu
Shamrahayu
A
A
A

SHAH ALAM – Wakil rakyat di negara ini digesa supaya memantapkan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di Malaysia.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, rakyat kini sering memantau dan memerhati demokrasi semasa yang berlaku.

“Ramai yang hilang kepercayaan kepada demokrasi dan ini merupakan cabaran besar kepada YB (wakil rakyat) untuk membuktikan demokrasi semakin segar dan menyubur dalam negara kita.

“Di sini kalau kita nampak juga, rakyat mahukan ‘monitoring democracy’, mereka mahu memantau apa yang YB-YB ini buat dan apa yang berlaku dalam demokrasi itu sendiri. Bagi pihak wakil rakyat sudah menyedari perkara ini dan cuma cabaran yang penting sekarang adalah untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepada demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-218 bertajuk ‘Politik Malaysia: Demokrasi Ikut Suka?' yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Dari kiri; Herleena, Shamrahayu, Noh dan Rayer pada Wacana Sinar Edisi ke-218 bertajuk 'Politik Malaysia: Demokrasi Ikut Suka?' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa. - FOTO ROSLI TALIB
Dari kiri; Herleena, Shamrahayu, Noh dan Rayer pada Wacana Sinar Edisi ke-218 bertajuk 'Politik Malaysia: Demokrasi Ikut Suka?' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa. - FOTO ROSLI TALIB

Turut menjadi panelis ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer manakala Harleena Pahlavy sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, ketika ini pilihan raya bukan satu-satunya elemen yang menentukan amalan demokrasi.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang mewarnai sistem demokrasi dan saya nampak masyarakat terutama netizen mahu mengenali atau bina satu wajah kepada demokrasi yang lebih kepada bukan sahaja kepada representative democracy (demokrasi perwakilan) tetapi kepada participatory democracy (demokrasi partisipatif).

“Perubahan demokrasi ini bermula sejak tahun 2005 hingga 2008 dan sejak itu bermula warna-warna demokrasi. Dari elit demokrasi atau demokrasi perwakilan menjadi demokrasi partisipatif. Rakyat mahu turut serta,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada Akta Anti Lompat Parti digubal bagi menghalang wakil rakyat melompat parti, Shamrahayu berkata, keputusan wakil rakyat yang memilih untuk melompat parti tidak perlu dihalang memandangkan ia adalah hak kebebasan mana-mana ahli politik selain kebebasan dalam sistem demokrasi.

Beliau berpendapat bahawa tiada kepentingan untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti buat masa ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!