Tukang kayu maut motosikal bertembung kereta

Keadaan kereta Proton Wira yang rosak teruk di bahagian depan di lokasi kejadian. - Foto ihsan pembaca
Keadaan kereta Proton Wira yang rosak teruk di bahagian depan di lokasi kejadian. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang tukang kayu maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta dinaiki lima sekeluarga dalam kejadian di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sentosa di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Shamsul Bani Ghany, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Sumber berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dari arah Setiu menghala ke Kuala Terengganu dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Proton Wira dipandu seorang wanita berusia 37 tahun.

"Difahamkan, wanita itu bersama suaminya dan tiga anak mereka berusia antara 5 hingga 3 tahun dalam perjalanan menuju ke Pasir Putih, Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini.

Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala dua penumpang Proton Wira yang cedera ringan dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!