UMNO Selangor ingatkan Bersatu jangan usik kerusi
SHAH ALAM - UMNO Selangor mengingatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak mengganggu kawasan yang dimiliki UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang nanti.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, bagaimanapun UMNO akan mengelakkan pertembungan dengan Pas pada PRU15 kelak.
"Hasrat ini telah saya sampaikan kepada Presiden UMNO dan Presiden Pas di Selangor agar UMNO dan Pas tidak bertembung, namun kalau Bersatu cuba nak ganggu kawasan kita, UMNO tiada pilihan melainkan terpaksa melawan Bersatu.
"Jadi saya minta kepada Bersatu, tolong kaji balik Pusat Daerah Mengundi (PDM) mana yang mereka menangi, tolong tengok dan buat kajian betul-betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada program majlis Dialog NGO-NGO Selangor 1.0 di Bangunan Kumpulan Muara, Seksyen 14 pada Rabu.
Katanya, UMNO sekali lagi mengulangi pendirian hanya mengiktiraf Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan Pas sebelum ini.
"Kita di Selangor berpegang kuat kepada prinsip tetap akan bersama dengan Pas dan pendirian kita jelas bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan dengan parti itu.
"UMNO tiada pilihan lain sekiranya Bersatu tetap berdegil untuk meletakkan calon di kawasan yang pernah dimenangi UMNO sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!