Ahli Parlimen bawa suara rakyat
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang perlu bertanggungjawab membawa suara rakyat di Parlimen.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, sebagai mekanisme penyampai pendapat dan kehendak rakyat, wakil rakyat terbabit menggalas amanah besar dan perlu jujur.
“Sebab itu sebagai ahli Parlimen, saya kena suarakan suara rakyat tidak kira sama ada sebagai pembangkang sebelum ini atau kerajaan.
“Ada prinsip-prinsip yang mesti ditegakkan keadilan. Macam peranan mahkamah, masa jadi ahli Parlimen kerajaan pun, kalau kes sedemikian digugurkan, saya juga akan persoalkan.
“Yang betul saya akan kata betul dan yang salah saya akan perbetulkan, perjuangkan. Bila suarakan suara rakyat, ia bukan sahaja tugas pembangkang, ahli Parlimen kerajaan pun sama, mesti berani tegur kerajaan,” katanya pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-218 bertajuk ‘Politik Malaysia: Demokrasi Ikut Suka?' yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Katanya, ahli Parlimen juga perlu sering turun padang membantu rakyat.
“Dengar masalah rakyat dan kemukakan di Parlimen. Sebab itu di Parlimen sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa, ahli Parlimen kena bangun, bercakap tentang masalah rakyat mengikut kementerian supaya kementerian berkenaan dapat mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Ditanya mengenai Akta Anti Lompat Parti seperti dicadangkan pembangkang, Noh berkata, perkara itu sudah lama dibincangkan.
“Persoalannya kalau lompat parti ikut kepentingan tertentu, ia pengkhianat kepada parti, ini tidak boleh. Sekarang ini pengundi pilih parti atau calon.
“Kalau sebelah pembangkang, mereka tak pilih calon, mereka pilih parti. Tetapi Barisan Nasional (BN) tengok calon dan parti.
“Pada masa akan datang, rakyat tak tengok parti tapi calon, ini pandangan saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!