Jangan cepat jatuh hukum tanpa jawapan konkrit
SEJAK beberapa hari lalu negara kita kembali kecoh. Bukan lagi cerita politik tetapi berita perkahwinan kapten skuad hoki India, Manpreet Singh Pawar dengan gadis kelahiran Malaysia, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique.
Merak Jalanan dah boleh agak, bila ada cerita terkait sukan, adalah kawan-kawan yang mahu soal jawab. Ada yang bertanya, hebat sangatkah Manpreet? Ada juga menyoal, ‘Illi Najwa itu pemain hoki jugakah?’
Banyak lagi soalan yang ditanya – semua merujuk kepada berita perkahwinan Manpreet dan Illi Najwa. Masing-masing sibuk nak tahu apa sebenarnya cerita di sebalik perkahwinan itu sehingga mencetuskan kontroversi.
Pening kepala juga nak jawab satu persatu soalan kawan-kawan tadi. Apa yang tahu, Merak Jalanan jawablah. Tetapi bila disoal tentang perkahwinan Manpreet dan Illi Najwa, Merak Jalanan tak berani nak jawab lebih-lebih – apatah lagi ia melibatkan soal agama.
Jika ditanya kepada wartawan hiburan sekalipun, Merak Jalanan percaya mereka sendiri tak ada jawapan sahih. Lebih baik kita tunggu saja kenyataan pihak berkuasa yang sememangnya lebih arif.
Merak Jalanan amat bersetuju dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Sebaik-baiknya kita tidak membuat sebarang kesimpulan dan tindakan pramatang terhadap berita yang disebarkan.
Memang benar apa yang dititahkan Sultan Ibrahim – Illi Najwa seolah-olah sedang mendepani proses penghakiman melalui platform media sosial sedangkan tuan punya badan tidak mengisytiharkan dia ingin keluar daripada agama Islam.
Ingat juga nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Usahlah kita sewenang-wenangnya menghukum seseorang itu murtad hanya berdasarkan khabar angin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!