Pertanian bandar untuk golongan B40

Penanaman sayur-sayuran di kawasan perumahan di bandar boleh diamalkan dalam skala kecil dan sederhana.
Penanaman sayur-sayuran di kawasan perumahan di bandar boleh diamalkan dalam skala kecil dan sederhana.
A
A
A

PERBELANJAAN import buah dan sayur-sayuran Malaysia telah melebihi RM8.5 bilion setahun mengikut statistik daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Justeru, pergantungan sumber makanan dari pasar raya perlu dikaji semula bagi memenuhi permintaan populasi bandar di Malaysia yang dijangka mencapai 75 peratus pada tahun 2020.

Isu ini menjadi lebih penting apabila kerajaan masih mengekalkan penutupan sempadan negara susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu, selain kesukaran untuk mengambil pekerja asing.

Dasar Pertanian Negara keempat cuba mempromosikan pertanian bandar bagi memastikan jaminan bekalan makanan isi rumah tetapi kurang mendapat pendedahan.

Contohnya, pertanian bandar telah pun diterajui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pertanian di sekitar Lembah Klang.

Pertanian bandar harus diberikan perhatian untuk mengawal peningkatan kadar kemiskinan di bandar dengan mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah.

Merujuk laporan penyelidikan MARDI, perbelanjaan isi rumah dapat dikurangkan kepada RM66 sebulan secara purata dengan menanam sendiri sayur-sayuran.

MARDI mengesyorkan amalan pertanian dipergiatkan dalam kalangan golongan B40, yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan yang terpaksa menghabiskan 70 peratus pendapatan mereka membeli keperluan runcit.

Artikel Berkaitan:

Bantuan berbentuk teknikal harus diberikan untuk menanam sayur-sayuran di flat kediaman kos rendah di mana ruang sangat terhad selain daripada modal permulaan bagi melaksanakan amalan pertanian ini.

Justeru itu, kaedah alternatif dan mesra pengguna seperti hidroponik, akuaponik, aeroponik, nutripot dan vertical farming harus diberi lebih pendedahan.

Pengambilan nasi yang banyak dalam setiap hidangan dengan istilah ‘nasi bukit’ adalah satu amalan pemakanan yang tidak seimbang untuk bekalan kalori sepanjang hari oleh golongan B40.

Pertanian bandar seharusnya menjadi mekanisme penting untuk diet yang pelbagai dalam kalangan golongan B40 di bandar dan ia bukan lagi dipandang sebagai kegiatan masa lapang. Selain itu, bahan makanan lebih segar dan organik akan mudah diperoleh kerana mereka sendiri yang menyemai dan membaja tanaman.

Contohnya, kaedah akuaponik tidak menggunakan racun perosak dan memanfaatkan najis ikan sebagai baja tanaman. Pembaziran juga boleh dielakkan kerana mereka tidak perlu menyimpan stok makanan berlebihan akibat belian secara pukal dari pasar raya untuk menjimatkan kos perjalanan dan letak kereta.

Amalan pertanian bandar bukanlah fenomena baru di Malaysia, namun pelaksanaannya terhad di bandar-bandar besar yang dibuat secara komersial oleh syarikat kecil. Singapura agak ke hadapan dengan mendasarkan vertical farming sebagai strategi untuk menambahkan pengeluaran makanan kepada 30 peratus menjelang 2030.

Kepemimpinan politik dan jabatan kerajaan kita perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti kawasan penanaman seperti kawasan perumahan dan tanah rizab kerajaan untuk aktiviti pertanian ini secara berkelompok di peringkat akar umbi.

Inisiatif harus juga dilancarkan oleh sektor swasta dan pasar raya dengan menawarkan pembelian alat-alat tanaman, benih dan baja pada harga yang berpatutan juga menggalakkan permintaan dan pasaran tanaman tempatan.

Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula boleh menyebarkan manual teknologi mudah dan membuka forum perbincangan di media sosial mengenai konsep pertanian ini. Manfaat yang paling penting daripada usaha berkenaan adalah ia berpotensi menjadi agen tranformasi bagi masyarakat bandar jika dilakukan secara kolektif.

* Dr Adi Md Sikin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!