Masalah air: Penduduk terpaksa guna air hujan
RAUB - Penduduk di Taman Raub Jaya, Taman Bukit Koman dan Taman Sentosa di sini resah kerana kehabisan bekalan air dan mendakwa terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian.
Mereka turut mendakwa Pengurusan Air Pahang kurang memberi maklumat berkenaan ketiadaan air di laman sosial mereka menyebabkan penduduk tidak mendapat informasi berkaitan.
Wakil penduduk, Muhammad Takradi Koliman, 34, berkata beberapa penduduk di tiga buah taman perumahan itu sudah menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) Paip untuk membuat aduan, namun dakwanya, pelbagai alasan diberikan.
“Bagi keluarga yang ada ramai penghuni, sudah pasti bekalan air sangat penting. Kalau dah empat hari tiada air keadaan ini memberi tekanan kepada mereka.
“Macam saya sekarang, saya dengan anak-anak dah tak mandi di bilik air...Kami semua mandi di garaj kereta kerana semua tong air yang dikumpul penuh di depan rumah,” katanya.
Muhammad Takradi yang tinggal di Taman Raub Jaya berkata, masalah itu turut menjejaskan pendapatan isterinya yang menjalankan perniagaan produk makanan.
Justeru, dia berharap kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan penduduk yang sentiasa dibelenggu ketiaadaan air.
“Kami kecewa. Kalau sehari tiada air pun kami dah susah hati sebab banyak kerja terpaksa ditangguhkan. Diharap sekurang-kurangnya ada sedikit penyelesaian daripada pihak mereka untuk mengurangkan beban kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Samaisya Mohd Isa, 38 berkata pengurusan Paip kurang memberi maklumat mengenai masalah bekalan air di media sosial mereka dan makluman pergerakan lori tangki bagi memudahkan penduduk memperoleh bekalan air bersih.
“Paip sepatutnya mengeluarkan notis awal di laman media sosial supaya kami boleh bersedia lebih awal,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata pihaknya maklum mengenai isu gangguan bekalan air di Raub yang memberi kesulitan khususnya pada musim perayaan.
Menurutnya, pihaknya telah melakukan perbincangan dengan Paip daerah Raub dan mereka setuju meletakkan 60 tangki statik tambahan dan lima unit tangki tambahan yang dipinjam dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)
"Saya juga sudah menyampaikan kepada kerajaan negeri agar projek off river storage tank system dapat dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekeruhan air di Sungai Bilut.
"Di samping itu, saya sudah berurusan dengan Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli bagi menyelesaikan masalah kritikal air Ini, Isya-ALLAH pada awal March kerja-kerja pengalian air bawah Tanah akan di mulakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!