Vaksin sedia ada berkesan
WASHINGTON - Saintis Muslim yang mengasaskan firma bioteknologi, BioNTech di Jerman memaklumkan virus dihasilkan bersama Pfizer berkemungkinan besar berkesan terhadap varian baharu B.1.1.7 yang dikesan di United Kingdom (UK) yang telah mencetuskan kebimbangan negara antarabangsa.
“Vaksin dibangunkan kami dijamin efisien kerana ia mengandungi lebih 1,000 asid amino. Tindak balas imun yang dicetuskan vaksin itu juga dapat menangani virus yang bermutasi tersebut. Kami yakin vaksin tersebut boleh memberi perlindungan yang diperlukan.
“Tetapi, jika ada keperluan, kami mungkin dapat menghasilkan vaksin baharu untuk melawan virus mutasi itu dalam tempoh enam minggu,” kata Ugur Sahin pada Selasa.
Menurutnya, varian baharu yang dikenal pasti di UK mempunyai sembilan mutasi berbanding satu yang biasanya berlaku apabila varian baharu dikesan.
“Hanya sembilan daripadanya mengalami perubahan yang bermaksud 99 peratus protein virus itu masih sama,” jelasnya sambil menambah ujian sedang dijalankan ke atas varian baharu tersebut dan datanya dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu akan datang.
Sementara itu, syarikat pengeluar ubat di London, AstraZeneca mengesahkan vaksin dihasilkan mereka juga dipercayai berkesan ke atas varian baharu tersebut.
“AZD1222 mengandungi bahan genetik lonjakan protein SARS-CoV-2. Perubahan kod genetik pada jenis baharu itu tidak mengubah struktur lonjakan protein terbabit.
“Melalui vaksinasi AZD1222, sistem imun tubuh telah dilatih untuk mengenali lebih banyak bahagian berbeza dalam lonjakan protein dan akan segera bertindak balas,” kata jurucakap AstraZeneca.
Mutasi B.1.1.7 tersebut didakwa 70 peratus lebih berjangkit dan golongan kanak-kanak paling berisiko dijangkiti hingga mencetuskan gelombang larangan perjalanan dari UK di kebanyakan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, penyelidik yang melakukan kajian terhadap varian baharu yang dikesan di UK percaya ia telah tiba di Amerika Syarikat (AS) pada pertengahan November.
“Ia mungkin telah menjangkiti ratusan individu. Varian baharu itu mungkin telah merebak ke banyak tempat,” kata Ketua Jabatan Ekologi dan Evolusi Biologi di University of Arizona, Michael Worobey.
Setakat ini, saintis di AS atau di negara lain seluruh dunia turut mengkaji urutan genetik koronavirus di negara tersebut untuk melihat sama ada ia sepadan dengan varian baharu yang dikesan di UK, namun gagal menemui sebarang persamaan.
Sebelum ini, saintis di UK mendakwa virus yang telah bermutasi B.1.1.7 itu telah muncul di Kent, tenggara London sejak 20 September lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!