Orang Melayu masih idam parti politik berintegriti

Mukhriz hadir di program Sinar Live, berlangsung di Auditorium Karangkraf. - FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mukhriz hadir di program Sinar Live, berlangsung di Auditorium Karangkraf. - FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi Melayu masih mengidamkan sebuah parti Melayu yang berintegriti dalam politik negara.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, harapan orang Melayu untuk memiliki sebuah parti yang berpegang teguh dalam mempertahankan prinsip mereka dilihat masih belum dipenuhi meskipun terdapat tiga parti yang berasaskan kaum Melayu.

“Orang Melayu itu sendiri walaupun diwakili oleh beberapa parti UMNO, Pas, dan Bersatu, tetapi kita rasa masih diperlukan satu pilihan ataupun satu alternatif selain daripada tiga parti yang saya sebutkan tadi.

“Kami (Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)) berpegang kepada integriti dan kita rasakan sebuah parti politik Melayu boleh berprinsip. Bukan yang jenis songlap duit dan lakukan macam-macam lagi.

“Jadi kita rasakan bahawa orang Melayu mengidamkan parti yang macam itu untuk mewakili mereka,” katanya dalam program bual bicara Sinar Live pada Rabu.

Mengulas mengenai kemungkinan untuk Pejuang menerajui pembangkang bagi Pilihan Raya Umum yang akan datang, beliau yang juga merupakan Presiden Pejuang berpendapat bahawa perkara itu masih belum boleh ditentukan buat masa sekarang.

Katanya, meskipun partinya dilihat lebih pro-Melayu, namun beliau berkata, Pejuang tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan perlu mengambil kira kekuatan semasa yang ada pada parti tersebut.

“Kalau kita tengok realiti politik dalam negara kita, jumlah kerusi yang di mana majoriti penduduk atau pengundinya orang melayu masih begitu banyak khususnya di luar bandar.

Artikel Berkaitan:

“Kita belum lagi membuat keputusan pendekatan yang hendak kami ambil menjelang PRU15 nanti. Tapi selalunya kita kena bermuhasabah diri dan nak kena ukur baju atas badan sendiri.

“Kalau kita pasang cita-cita yang terlampau tinggi. Contohnya nak bertanding 100 kerusi tetapi sebenarnya tidak berkemampuan dan nak buat seorang, mungkin payah sedikit. Jadi keputusan itu nanti kita akan buat sebelum PRU15,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!