'Saya nampak you susah, saya tolong...'
GOPENG - Seorang remaja lelaki terkedu apabila pemandu lori yang tidak dikenalinya tiba-tiba menghulurkan bantuan setelah terpaksa menolak motosikalnya sejauh 10 kilometer (km) gara-gara tayar pancit di lebuh raya berhampiran Tol Gopeng.
Danish Syazwan Toh, 18 berkata, kejadian itu berlaku pada jam 3.39 petang di kilometer (km) 305 dari Tapah ke Ipoh pada Isnin dan mengakui terharu dan bersyukur apabila ada insan yang tidak dikenali sudi membantunya ketika dalam kesusahan.
"Semasa dalam perjalanan motosikal saya masih berada dalam keadaan elok, malah saya juga menunggang dalam keadaan perlahan memandangkan keadaan cuaca hujan ketika itu.
"Bagaimanapun secara tiba-tiba tayar belakang motosikal pecah dan saya hampir terjatuh. Mujur saya dapat seimbangkan badan sebelum berhenti di lorong kecemasan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menceritakan lebih lanjut kejadian itu, Danish yang juga pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah berkata, dia telah menghubungi talian kecemasan lebuh raya namun pihak berkaitan tidak dapat membantu kerana kerosakan yang dialami amat teruk.
Katanya, pihak terbabit turut memaklumkan bahawa mereka tidak dapat membantu kerana tidak mempunyai kelengkapan mencukupi membabitkan kerosakan tayar motosikal dan mereka menyarankan agar motosikalnya ditolak ke tol berhampiran.
"Jadi saya akur dengan saranan itu dan mula menolak motosikal sejauh 10 km sebelum tiba di Tol Gopeng dan menghala ke sebuah bengkel yang terletak kira-kira 2 km dari tol berkenaan.
"Bagaimanapun, sedang saya menolak motosikal, tiba-tiba sebuah lori tanpa muatan berhenti di hadapan saya sebelum seorang lelaki berbangsa India keluar untuk membantu," katanya.
Danis berkata, lelaki itu menawarkan bantuan dengan membawa motosikalnya menaiki lori terbabit, namun menolak bantuan kerana enggan menyusahkan pemandu lori itu.
Bagaimanapun katanya, melihat keikhlasan lelaki itu yang ingin membantunya dia bersetuju dan motosikalnya dibawa dengan menaiki lori ke sebuah bengkel yang terletak selepas persimpangan masuk ke Tol Simpang Pulai.
"Saya ingin memberi sedikit wang bagi menghargai bantuan diberikan tetapi lelaki yang saya dipanggil 'uncle' itu enggan menerimanya. Sebaliknya dia menolong kerana melihat kesusahan saya menolak motosikal yang rosak.
"Dia cakap, dia nampak saya dalam kesusahan jadi dia tolong saya dan bukannya atas sebab duit. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana bantu saya ketika susah dan pastinya peristiwa ini saya akan ingat sampai bila-bila," katanya.
Terdahulu, ciapan Danish mengenai bantuan yang dihulurkan oleh 'uncle' tersebut tular di laman sosial hingga meraih lebih 1,000 tanda suka dan rata-rata netizen terharu serta bangga melihat aura positif yang ditunjukkan oleh 'uncle' dan Danish.
Kata @nadra_ell, "Sebenarnya Malaysia ni masih lagi harmoni, bergaul dan berbudi tak kira bangsa dan agama. Tapi biasalah, perkara negatif itu lebih seronok untuk dibualkan. Apa pun terima kasih kongsi pengalaman warna warni Malaysia".
pecah tayar belakang atas highway. polis ronda datang tapi luar kemampuan diorang, tak boleh nak tolong. lagi 10km nak ke tol gopeng, terpaksa tolak motor slow2. datang uncle ni offer nk tolong angkut motor pergi bengkel motor. thank you uncle. Proud to be Malaysians! pic.twitter.com/mJia1B9sfO
— dylonn (@danishdylonn) December 21, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!