'Kemelut politik berpanjangan punca Malaysia rugi besar'
SHAH ALAM - Kemelut politik negara yang berpanjangan menyebabkan Malaysia mengalami kerugian besar dalam usaha meraih pelaburan dari negara luar.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pelabur dari negara luar dipercayai hilang keyakinan berikutan kemelut politik yang berlaku dalam negara.
“Saya sangat terkesan dengan isu pelaburan ini. Bila dah ada masalah Covid-19 dan melihat bagaimana negara kita menanganinya berbanding negara lain seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia, pelabur hilang keyakinan.
“Kemudian ditambah ketidaktentuan politik yang wujud. Kita sebenarnya rugi besar,” katanya dalam program bual bicara Sinar Live pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Melayu masih idam parti politik berintegriti
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun mempersoalkan kenapa Malaysia tidak memanfaatkan kelebihan yang ada dari sektor-sektor tertentu untuk menarik perhatian pelabur luar negara.
“Kalau diikutkan komponen dan peralatan automatif lebih banyak di Malaysia. Jadi, kenapa kita tidak boleh menggunakan kelebihan ini untuk menarik jenama-jenama besar di dunia sekarang ini.
"Malaysia tidak mengeksploitasi kesempatan yang ada, meskipun dunia dilanda wabak pandemik, peluang pelaburan tetap ada.
“Saya akui bahawa waktu pandemik seperti ini, pelaburan atau iklim pelaburan tak berapa menentu. Orang lebih mudah membuat keputusan ‘tunggu dan lihat’. Tetapi di sebalik cabaran biasanya ada peluang. Jadi, macam mana kita nak cari peluang itu dan ambil kesempatan. Malangnya saya lihat, negara tidak berjaya melakukannya,” ujar Mukhriz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!