Penularan Covid-19 sangkal telahan 2020 tahun PRN Sarawak

Jika tidak kerana penularan pandemik Covid-19 rakyat Sarawak mungkin telah melalui pilihan raya negeri pada tahun ini.
Jika tidak kerana penularan pandemik Covid-19 rakyat Sarawak mungkin telah melalui pilihan raya negeri pada tahun ini.
A
A
A

KUCHING - Jika tidak kerana penularan pandemik Covid-19 rakyat Sarawak mungkin telah melalui pilihan raya negeri pada tahun ini.

Penyakit itu yang dikesan pada penghujung 2019 selepas penularan di Wilayah Wuhan, China, merebak pantas di Malaysia menjelang Mac dan menyebabkan aktiviti di Sarawak hampir terhenti selama tiga bulan bermula awal bulan berikutan tumpuan kerajaan negeri terarah pada usaha meringankan bebanan rakyat.

“Sebenarnya kami mahu adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 lebih awal, tetapi menangguhkannya kerana kami lebih sayangkan rakyat (dengan melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19 berbanding pilihan raya,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada satu majlis di Miri, 15 Disember lalu.

PRN ke-12 itu merupakan topik paling hangat dibincangkan oleh rakyat di Bumi Kenyalang ini sejak dua tahun lalu ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-11 menginjak hari-hari terakhir sebelum penggal tamat.

Penggal selama lima tahun DUN ke-11 bermula pada 8 Jun 2016 selepas usainya PRN yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Sarawak di bawah pimpinan ketua menteri ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem mencatat kemenangan besar, menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Antara isu utama yang dibangkitkan sepanjang PRN itu ialah menuntut semula hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan setiap parti yang bertanding berlumba-lumba mencari sokongan menerusi eksploitasi isu berkenaan.

Sejak itu, suara menuntut pemulangan hak Sarawak semakin lantang kedengaran dan di bawah kepimpinan Adenan, kerajaan negeri memulakan usaha merundingkan pengembalian hak-hak tersebut dengan kerajaan persekutuan selepas menerima sokongan sebulat suara DUN.

Usaha itu diteruskan oleh Abang Johari yang menerajui kerajaan negeri selepas Adenan meninggal dunia pada Januari 2017.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Pilihan Raya Umum 2018 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat, sekali gus menjadikan Sarawak negeri pembangkang.

Melihat perkembangan politik nasional, empat parti utama negeri, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), bertindak keluar BN dan membentuk gabungan peringkat negeri dikenali Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan perjuangan mereka menuntut hak-hak negeri.

Antara hak tersebut ialah menguatkuasakan Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 ke atas Petronas, dan Sarawak memulakan 2020 dengan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuching, menuntut syarikat minyak negara itu melangsaikan bayaran cukai.

Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan persekutuan pada akhir Februari apabila kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan berkuasa dan digantikan dengan gabungan Perikatan Nasional serta parti sekutu, tuah mula memihak kepada Sarawak dan Petronas bersetuju menyelesaikan isu itu dan akhirnya menandatangani perjanjian penyelesaian komersial pada 7 Disember lalu.

Pemeteraian perjanjian itu merupakan satu lagi pencapaian kerajaan GPS dalam usaha mendapatkan semula hak Sarawak di bawah MA63 kerana perjanjian tersebut membuka laluan bagi kerajaan negeri memperhebat penglibatannya dalam eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas di Sarawak.

Di sebalik kekangan penularan pandemik, Sarawak tetap berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang mana UOB Financial Research dan Markets melaporkan FDI bernilai RM15.8 bilion dicatatkan oleh Sarawak dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Kejayaan-kejayaan ini, serta kejayaan membendung penularan Covid-19 termasuk meringankan bebanan rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya meningkatkan keyakinan GPS ketika mengorak langkah memasuki 2021, selain bersedia menghadapi PRN ke-12 yang harus diadakan pada tahun depan, iaitu sebelum 7 Ogos.

Dari segi penularan Covid-19 di negeri ini, jumlah kumulatif kes positif setakat 23 Disember ialah sebanyak 1,094 kes dengan 19 kematian berbanding peringkat nasional yang mencatatkan jumlah terkumpul 98,737 kes dengan 444 kematian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!