Treler bawa buah kelapa sawit terbalik, pemandu cedera
MERSING - Sebuah treler yang membawa muatan buah kelapa sawit terbabas dan terbalik berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Jalan Jamaluang di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian pada jam 9.12 pagi itu, pemandu treler, Alif Amyhazrin Khairuddin yang berusia 29 tahun terperangkap di tempat duduk.
Difahamkan treler berkenaan baru melepasi satu selekoh tajam sebelum hilang kawalan dan terbalik di tepi jalan tersebut hingga membuatkan buah kelapa sawit bertaburan di atas jalan.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah treler jenis Nissan.
"Pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam masa tidak sampai setengah jam. Pemandu lelaki berkenaan cedera ringan.
"Pihak bomba memberi rawatan awal sebelum menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pihaknya menjalankan kerja-kerja pembersihan di jalan berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!