Tarik balik sokongan jika Muhyiddin tak tunai tuntutan
SHAH ALAM - Terdapat kemungkinan ada dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan menarik balik sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan mempermudahkan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium automatik.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kemungkinan perkara itu berlaku boleh dilihat melalui kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkenaan perkara tersebut.
Katanya, kejayaan untuk melakukan langkah sedemikian bukanlah sesuatu yang sukar memandangkan ia tidak memerlukan keseluruhan sokongan daripada ahli Parlimen BN.
“Menurut Datuk Seri Najib Razak, jika tiada perubahan dan kerajaan Perikatan Nasional terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak.
“Justeru apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan? Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Nampak macam 'kamikaze' tetapi apa salahnya, demi rakyat.
"Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup. Tarik lima sokongan pun alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Jelasnya, ahli Parlimen perlu menunjukkan 'keberanian politik' meskipun tindakan itu datang dengan harga yang mahal sesuai dengan tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka sebagai seorang wakil rakyat.
“Betul, MP (ahli Parlimen) akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan ‘keberanian politik’," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, Muhyiddin tidak seharusnya berasa lega hanya kerana Belanjawan 2021 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen yang lalu.
Katanya, rakyat ketika ini dilihat masih tidak berpuas hati dengan bantuan yang diberikan dalam Belanjawan 2021 terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan pengeluaran KWSP dan kemudahan moratorium.
“Muhyiddin memang lega kerana Belanjawan 2021 telah lulus. Tetapi rakyat belum lega. Janji mempermudahkan i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya. Terdapat pula bank bank yang liat.
“Rakyat terbelenggu dengan kriteria. Terutama untuk kategori 2 pengeluaran KWSP. Moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga IKS.
“DS Najib Pengerusi BNBBC berkata, akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji sehingga dua isu ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!