Tahun 2020 medan uji kemampuan kesalinghubungan internet negara
KUALA LUMPUR - Tahun 2020 ibarat medan bagi menguji kemampuan kesalinghubungan Internet di seluruh negara, terutama apabila lebih 32 juta rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu, dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Sedar atau tidak, capaian Internet sebagai medium penting penyampaian maklumat dan alat komunikasi, merupakan kunci dalam sebahagian besar pembudayaan norma baharu, yang memperlihatkan pelbagai urusan termasuk bidang pendidikan dan sektor perniagaan, dibuat secara dalam talian ketika ini.
Mengambil contoh, amalan mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki sesebuah premis juga tidak boleh dilakukan, sekiranya pengguna atau kawasan itu tidak mempunyai sambungan Internet yang baik.
Malah, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan akibat pandemik Covid-19 pada Mac lepas, penggunaan Internet dalam kalangan rakyat juga menunjukkan peningkatan, kerana mereka menghabiskan kebanyakan masa secara dalam talian, sehingga ada dalam kalangan mereka membina rangkaian di media sosial, sebagai kaedah mendapatkan sumber kewangan alternatif.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam hantaran ‘Merentas Ruang’ bertajuk ‘Menyantuni Komuniti Setempat dan Digital’ pada November lepas, turut menyebut mengenai kewujudan pelbagai Komuniti Digital berkaitan kawasan tertentu secara dalam talian, contohnya melalui ‘Facebook Group’, ‘WhatApps Group’, ‘Telegram Group’ dan sebagainya.
Menurut Saifuddin, semua pihak perlu bekerjasama lebih keras dalam membangunkan komuniti berkemahiran digital, menjadi warga natif digital dan berinteraksi secara digital, kerana ia merupakan sumber tenaga untuk kemajuan negara dan berdaya saing dengan negara lain, pada masa depan.
Justeru, di samping keperluan untuk menyegerakan kesempurnaan kesalinghubungan Internet dan kemampuan komuniti dari segi pemilikan peranti yang sesuai, komuniti juga perlu diperkasa dari segi migrasi ke dunia digital, penguasaan teknologi dan kesedaran terhadap maklumat palsu, keselamatan siber dan keanggotaan yang positif, dalam pelbagai bentuk komuniti digital.
Namun, semasa negara berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB), tular sebuah video mahasiswa Universiti Malaysia Sabah yang menetap di pedalaman Sabah Veveonah Mosibin, 18, yang terpaksa bermalam di atas pokok bagi menjawab peperiksaan secara dalam talian di universiti, akibat masalah capaian Internet sehingga mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk menteri.
Video itu menjadi pencetus polemik isu kesalinghubungan dan infrastruktur Internet di kawasan luar bandar terutamanya di Sabah, yang masih jauh ketinggalan dengan banyak tempat tidak mempunyai liputan Internet.
Kes yang dihadapi Veveonah itu bukanlah kes terpencil, tetapi banyak berlaku di seluruh negara yang memerlukan kerajaan memperbaiki kelemahan sedia ada dan memperluaskan kemudahan jalur lebar dengan lebih efisien, sekali gus mempersiapkan negara menghadapi masa depan.
Ini merupakan petunjuk jelas kesalinghubungan Internet bukan lagi sekadar pilihan, tetapi keperluan dalam kehidupan seharian dan ia perlu diiktiraf sebagai utiliti awam ketiga negara, selari dengan bekalan air dan elektrik.
Oleh itu, cakna dengan keperluan mempertingkatkan tahap kesalinghubungan dan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi bagi pengguna seluruh negara, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Ogos mengumumkan inisiatif kerajaan dalam membangunkan pelan infrastruktur digital, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pelan infrastruktur digital lima tahun, iaitu satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu bakal menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi, serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.
Menyedari Sabah sangat memerlukan penambahbaikan dalam penyediaan infrastruktur digital, negeri itu menjadi penerima terbesar projek pembangunan infrastruktur di bawah JENDELA, yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM2.45 bilion.
Muhyiddin ketika melancarkan Gerbang Sabah berkata, rakyat negeri itu akan mendapat capaian jalur lebar lebih meluas bermula pada penghujung tahun ini sehingga 2022, apabila sejumlah 419 menara baharu akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G.
Gerbang Sabah, yang merupakan komponen penting JENDELA, adalah titik sambungan Internet antara Sabah dengan seluruh dunia yang akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan negeri itu, selain mempersiapkan rakyat untuk menghadapi masa depan berlandaskan inovasi dan teknologi.
Selain Sabah, kerajaan juga dalam usaha menyedia dan mempertingkatkan kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli di seluruh negara, dengan sejumlah 61 menara telekomunikasi telah dibangunkan di kawasan perkampungan Orang Asli.
Lapan menara lagi, termasuk di Pos Lemoi dan Pos Kampung Telimau di Cameron Highlands, Pahang, sedang dilaksana dan dijangka dilaksanakan secara berperingkat bermula suku pertama tahun hadapan.
Selain itu, program Jaringan Prihatin yang diperkenalkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini pula, akan memberi manfaat kepada golongan B40 secara menyeluruh.
Pelaksanaan program itu juga akan menambah baik informasi dalam kalangan rakyat, termasuk di kawasan pedalaman apabila rakyat akan dapat memperoleh kandungan maklumat yang lebih meluas, termasuk mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan apabila mereka mengakses internet.
Sebelum tahun 2020 melabuhkan tirainya, pelbagai usaha telah direncanakan kerajaan dalam meningkatkan infrastruktur digital di negara ini, sebagai persediaan mengintegrasikan rakyat ke arah dunia digital dan pada masa yang sama, memastikan tiada golongan tercicir bagi menikmati kemudahan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!