Rancak tanam jagung

Dr Sharuddin (empat, kiri) menunjukkan isyarat bagus ketika cuba menuai jagung sempena lawatan ke projek tanaman jagung bijirin di ZPM Chemplak, Segamat.
Dr Sharuddin (empat, kiri) menunjukkan isyarat bagus ketika cuba menuai jagung sempena lawatan ke projek tanaman jagung bijirin di ZPM Chemplak, Segamat.
A
A
A

SEGAMAT - Kerajaan negeri kini dalam usaha merancakkan sektor pertanian melalui aktiviti tanaman jagung bijirin sebagai alternatif mengurangkan kebergantungan import terhadap bekalan makanan itu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sharuddin Jamal berkata, ketika ini, pihaknya sedang meneliti potensi tanaman berkenaan untuk ia diperluaskan pada masa akan datang.

Menurutnya, melalui projek perintis terbabit, ia akan menjadi tahap ukur bagi meningkatkan kebolehpasarannya.

“Projek tanaman jagung bijirin seluas 50 hektar yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bakri di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Chemplak, di sini, akan menjadi platform utama untuk mengumpul segala data berkaitan tanaman itu.

“Setakat ini belum ada pihak yang mengusahakan tanaman bijirin jagung secara komersial di negeri ini dan kerajaan negeri berharap ia dapat diperluaskan pada masa akan datang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import dari negara luar. Usaha ini selari dengan hasrat Kerajaan Pusat yang mahu potensi kekayaan baharu dalam bidang pertanian dibangunkan secara meluas bagi menjimatkan kos mengimport sumber makanan terutama makanan ternakan dari negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat projek tanaman jagung bijirin di ZPM Chemplak di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Mazlan Aliman dan Adun Tenang, Solihan Badri.

Dr Sharuddin berkata, data yang dikumpul melalui projek perintis itu akan digunakan bagi menentukan potensi serta permasalahan yang mungkin dihadapi pengusaha tanaman tersebut sebelum sebarang keputusan memperluaskannya dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan tanaman ini boleh diusahakan dengan jumlah tenaga kerja yang minima berikutan kebanyakan kerja dilakukan menggunakan jentera di mana tanaman seluas 50 hektar ini hanya diusahakan oleh empat pekerja.

“Walaupun tanaman ini mampu memberikan pulangan yang besar dengan tuaian melebihi enam tan bagi setiap hektar, namun masalah cuaca serta bentuk muka bumi mempengaruhi hasil tuaian kerana jagung hanya boleh dituai ketika cuaca panas,” katanya.

Katanya, selain tanaman jagung bijirin, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti potensi tanaman lain seperti kelapa serta bidang akuakultur sebagai sumber kekayaan baharu berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!